Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes GISBH: PAS seru henti menghukum sebelum keputusan mahkamah
Diterbitkan:  Sep 30, 2024 11:19 AM
Dikemaskini: 5:40 AM
4

PAS menggesa masyarakat berhenti daripada menghukum kontroversi membabitkan Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISBH) selagi mana kes berkenaan belum diputuskan mahkamah.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pihak selain hakim, termasuk penyiasat tidak mempunyai autoriti yang boleh menentukan sama ada satu-satu pihak itu bersalah atau sebaliknya.

Tegasnya, budaya menjatuhkan hukuman sebelum keputusan mahkamah jelas bercanggah dengan kaedah pengasingan kuasa yang menjadi teras dalam negara.

“Malah saya melihat ia lebih malang jika pihak yang melakukan penyiasatan terus menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ dan seolah-olah memberi tekanan kepada mahkamah agar seiring dengan ‘keputusan’ mereka.

“Walhal, tugas pihak penyiasat hanyalah mencari dan mengemukakan bukti siasatan untuk dipertimbangkan dalam perbicaraan mahkamah.

"Tidak terhad kepada isu GISBH sahaja, apa juga kes mahkamah adalah tempat bergantungnya orang ramai bagi menegakkan hak dan keadilan,” katanya pada kenyataan media hari ini.

Menurut ahli parlimen Kubang Kerian itu ramai pihak mengulas kes GISBH sehingga menggambarkan seolah-olah pihak berkenaan telah pun dijatuhkan hukuman bersalah.

Terdahulu pihak polis menerusi Op Global melakukan serbuan terhadap rumah-rumah amal di seluruh negara yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH.

Tuan Ibrahim berkata budaya ‘penyiasat’ terlajak membuat keputusan mesti dihentikan demi menegakkan keadilan, sekali gus mengukuhkan pengasingan kuasa dalam dasar negara.

Katanya, perkara seumpama itu biar mahkamah membuat keputusan dan tindakan yang sepatutnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

“Seharusnya kita perlu membiarkan siasatan lengkap oleh pihak polis, agensi penyiasat, badan berautoriti agama sehinggalah keputusan daripada mahkamah.

“Budaya membuat ‘keputusan’ sebelum mahkamah memutuskan sesuatu perkara sepatutnya dihentikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi Malaysiakini menyangkal tanggapan bahawa pihak berkuasa mendahului mahkamah dalam siasatan mereka terhadap GISBH.

Dia berkata, pihak polis sentiasa bertindak profesional dalam menjalankan tugas dan tidak pernah melampaui batas yang ditetapkan undang-undang.

"Kami menyiasat, pemberita tanya apa kita dapat, kita bagitahu, kita siasat bawah akta mana, seksyen sekian-sekian.

“Mana kita cakap mereka bersalah di bawah seksyen ini? Yang tentukan bersalah itu mahkamah.

“Saya beritahu bahawa siasatan kita bila lengkap kita akan hantar ke kamar AG (Peguam Negara). AG akan beri arahan buat keputusan (untuk mendakwa atau sebaliknya),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS