Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
7 penunjuk perasaan pro-Palestin dekat kedutaan AS ditahan

Polis menahan tujuh penunjuk perasaan pro-Palestin yang berkumpul berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pagi ini.

Salah seorang ahli kumpulan kecil itu, yang enggan dikenali memberitahu Malaysiakini mereka berkumpul selama kira-kira sejam berhampiran pintu belakang kedutaan tersebut.

"Mula-mula mereka minta kami beralih ke bawah jalan supaya kami tidak berada betul-betul di hadapan pintu kedutaan kerana mereka kata kami berada di hadapan rumah seseorang.

"Kami patuh dan berdiri di hadapan kawasan kosong. Mereka mengambil gambar dan merakam kami," kata individu tersebut.

Tambahnya, ketika mereka cuba bersurai, polis meminta kad pengenalan dan mereka kemudian ditahan serta dibawa ke IPD Pudu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Mohammad Lazim Ismail mengesahkan polis menahan beberapa individu kerana berhimpun namun enggan mengulas lanjut, berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media tidak lama lagi.

'Dibebas selepas soal siasat'

Malaysiakini mendapati semua tujuh penunjuk perasaan itu, yang ditemani oleh dua peguam, disoal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju sebelum dibenarkan keluar sekitar jam 1.30 tengah hari tadi.

Peguam dari Lawyers for Liberty, Zaid Malek pada maklum balas segera mengecam tindakan polis terhadap penunjuk perasaan serta penggunaan istilah "perhimpunan haram" oleh Mohammad Lazim.

"Tidak ada perkara seperti perhimpunan haram di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA).

"Konsep 'perhimpunan haram' dalam undang-undang kita telah dimansuhkan selepas pindaan kepada Akta Polis. Adakah polis dan kerajaan tidak sedar tentang ini," soalnya.

"Di seluruh dunia, orang yang berfikiran waras sedang memprotes pembunuhan beramai-ramai di Palestin.

"Sangat mengejutkan di Malaysia, penunjuk perasaan ditahan secara tidak sah kerana membela hak asasi manusia terhadap pembunuhan beramai-ramai ini," tegasnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS