Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Akmal pertahan gelar Kok 'nyonya tua' ketika soal siasat
Diterbitkan:  Sep 29, 2024 5:29 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menjelaskan soal siasat polis terhadapnya hari ini, mempertahankan kenyataan mengenai Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, berkaitan isu sijil halal.

Menurut ahli politik lantang itu, dia memaklumkan kepada pegawai penyiasat polis kenyataannya hanya tindak balas terhadap kenyataan Kok mengenai isu halal.

"Respon saya adalah itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat sensitif dan kita dah ingatkan banyak kali dah, kalau nak menjaga keharmonian negara kita ini, perkara-perkara yang sensitif ini tak boleh langsung disentuh.

"Dan kenyataan saya adalah kenyataan balas kepada kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Teresa Kok.

"Kita tidak menyerang mana-mana (pihak), tetapi kita membalas semula kenyataan yang telah dikeluarkan oleh YB Teresa Kok.

"Kenyataan YB Teresa Kok itu bukan saja saya tetapi telah menyakitkan hati kesemua rakyat atau pun orang Melayu Islam di negara ini,” kata Akmal kepada pemberita dan penyokongnya di luar ibu pejabat polis daerah Jasin di Melaka, awal hari ini.

Satu klip video ucapan ringkas tersebut telah dimuat naik di halaman Facebooknya.

Akmal juga berkata dia telah memberikan keterangannya kepada pihak polis dan bersedia untuk bekerjasama.

Ketua pemuda Umno itu menegaskan dia bersedia untuk membawa perkara berkenaan ke mahkamah.

Semalam, Akmal memaklumkan dia dipanggil pihak polis berhubung tindak balasnya terhadap Kok mengenai isu sijil halal.

Akmal sebelum ini menggelar Kok sebagai "nyonya tua" yang tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal Islam, berkata dia meminta kerajaan menyediakan logo tidak halal untuk dilekatkan di dahi ahli parlimen Seputeh itu.

Ini selepas kenyataan Kok mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol.

Antara lain Kok berkata cadangan itu bakal membebankan peniaga, termasuk orang Islam dan boleh menjejaskan imej Malaysia.

Kok telah memberikan keterangan kepada pihak polis berhubung isu itu namun menegaskan tiada keperluan untuk pihak berkuasa itu melakukan siasatan terhadapnya.

Dia juga telah dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 atas "penyalahgunaan kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian".

Kok juga telah menghantar surat tuntutan kepada Akmal bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok mendakwa Akmal memutar belit kenyataannya mengenai isu pensijilan halal.

Pun begitu Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada 19 Sept menjelaskan pergeseran antara Ketua Pemuda Umno dan Naib Pengerusi DAP berhubung isu pensijilan halal sudah reda.

Zahid berkata dia sudahpun mengeluarkan kenyataan pada 18 Sept berkaitan pendirian kerajaan bahawa permohonan sijil halal kekal dibuat secara sukarela.

"Dah reda (tone down), saya sendiri telah berjumpa dengan Dr Akmal pada 14 Sept lepas bersama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan saya juga telah memberitahu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengenai perkara itu.

"Jadi isu ini telah ditutup," kata Zahid.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS