Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan bantah insinerator akan teruskan himpunan walau tanpa izin polis

Kumpulan pendesak Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI) berkata mereka akan meneruskan himpunan bagi membantah rancangan kerajaan Selangor untuk membina loji insinerator sampah kepada tenaga (waste-to-energy, WTE) di Rawang, walaupun mereka berdepan risiko ditahan pihak berkuasa.

Bagaimanapun RTI memaklumkan mereka akan berjumpa dengan polis esok untuk sekali lagi cuba mendapatkan kebenaran bagi mengadakan himpunan, yang dijadual diadakan bermula jam 10 pagi pada Selasa ini di depan pejabat Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Saya tak boleh kata yang saya tak rasa takut, tapi kami perlu teruskan,” kata jurucakap RTI Abdul Hanan Abd Mokti semasa sidang media di Bandar Tasik Puteri, hari ini.

Abdul Hanan berkata demikian ketika ditanya jika mereka sedia berdepan akibatnya, termasuk kemungkinan ditahan, jika meneruskan himpunan itu.

Sebelum ini, MPS meluluskan permohonan menukar zon tanah kediaman di Batu Arang, Rawang kepada kategori industri, yang membolehkan pembinaan insinerator mega yang dirancang di lokasi tersebut.

RTI menegaskan mereka telah mengikut setiap prosedur dalam membantah rancangan pembinaan itu dan akan terus berbuat demikian, termasuk undang-undang melibatkan Akta Perhimpunan Ama 2012.

Menurut RTI, polis tiada hak untuk menghalang himpunan itu jika setiap undang-undang dipatuhi.

Abdul Hanan juga memberi jaminan himpunan itu akan berjalan secara aman dan tidak akan melanggar mana-mana undang-undang.

“Kita akan teruskan. Kita akan patuh semua undang-undang, termasuk untuk tidak terlibat dalam sebarang tindakan ganas dan provokasi, serta (menghormati) undang-undang jalan raya.

“Walaupun kami diprovokasi pihak lain, kami tidak akan bertindak balas,” katanya lagi.

Hanan berkata Pusat Bantuan Guaman Majlis Peguam turut bersetuju untuk menghantar pasukan mereka bagi memantau himpunan dan memastikan hak peserta dijaga dan protes tersebut berjalan mengikut undang-undang.

RTI juga telah memaklumkan yang dipertua MPS berkenaan hasrat mereka untuk menyerahkan memorandum ketika himpunan nanti.

Minggu lalu, RTI mengumumkan rancangan untuk mengadakan himpunan tersebut, antaranya bagi menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan MPS meluluskan permohonan penukaran zon tanah tersebut.

Namun, RTI berkata mereka kemudian dimaklumkan oleh polis agar tidak meneruskan himpunan itu atas faktor keselamatan, kesesuaian lokasi himpunan, kesesakan lalu lintas dan ketenteraman awam.

RTI kemudian mengecam tindakan itu dan menggesa polis untuk menghormati hak untuk berhimpun secara aman yang dijamin Perlembagaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS