Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan harap had pelepasan cukai insurans dinaikkan dalam Belanjawan 2025

Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berharap kerajaan akan menaikkan had pelepasan cukai untuk premium insurans hayat, pendidikan dan perubatan menerusi Belanjawan 2025.

Menurut MTA, pelepasan cukai akan meringankan beban pengguna selepas kenaikan besar premium insurans dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“MTA berharap kerajaan dapat menaikkan had pelepasan cukai bagi premium berkaitan insurans, pada masa ini (ditetapkan) pada RM3,000 untuk insurans hayat dan RM3,000 untuk insurans pendidikan dan perubatan.

“Ini terutamanya untuk insurans perubatan yang menyaksikan peningkatan besar premium dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” menurut MTA kepada Bernama.

Persatuan itu memaklumkan bahawa penetapan semula harga perubatan di Malaysia adalah satu cabaran yang sukar, dengan implikasi ketara terhadap kos penjagaan kesihatan, perlindungan takaful dan akses pengguna kepada perkhidmatan perubatan.

Industri turut bergelut dengan tekanan inflasi dan turun naik ketara pasaran tahun ini, tambah MTA.

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus pada 1 Mac, 2024 daripada enam peratus sebelum itu telah meningkatkan lagi kos produk takaful dan insurans kumpulan, jelasnya.

Oleh itu, MTA mencadangkan supaya kerajaan memberikan pelepasan cukai tambahan atau insentif cukai kepada syarikat atau majikan yang mencarum, atau membayar premium untuk skim faedah kumpulan pekerja.

“Ini akan membantu meringankan beban kewangan syarikat dan pemilik perniagaan (dan memastikan mereka) terus memberikan faedah perlindungan majikan,” tambah persatuan itu.

MTA turut mencadangkan pelepasan atau rebat cukai pendapatan peribadi kepada pelanggan yang membeli skim takaful untuk tujuan kebajikan atau derma.

Objektif utamanya adalah menggalakkan kesejahteraan masyarakat dalam kalangan individu yang ingin menyumbang kepada skim takaful dengan ciri nilai tambah yang merangkumi tujuan amal, menurutnya.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS