Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke seru parti kerajaan perpaduan jaga keharmonian dalaman
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 11:19 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Ketika BN smeraikan kejayaan mengekalkan Mahkota, sekutunya DAP mengingatkan semua parti dalam kerajaan perpaduan untuk mengekalkan keharmonian dalaman dan mengukuhkan kerjasama untuk mencapai kejayaan lebih besar pada masa hadapan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata demikian selepas PRK Mahkota menyaksikan ramai pengundi Cina tidak keluar mengundi.

“Meskipun dengan kemenangan besar ini dan sokongan yang kuat daripada semua kaum terhadap calon Perpaduan, DAP mengambil perhatian yang serius dengan peratusan mengundi yang rendah dari kalangan pengundi bukan Melayu.

"Pucuk pimpinan DAP akan terus berusaha untuk memberi penerangan yang jelas di peringkat akar umbi untuk menyakinkan penyokong kami berkenaan agenda dan hala tuju kerajaan perpaduan.

"Namun, semua parti dalam kerajaan perpaduan perlu berusaha menjaga keharmonian dalaman dan mengeratkan talian kerjasama demi mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, calon BN Syed Hussien Syed Abdullah memenangi PRK Mahkota dengan memperoleh 27,995 undi berbanding Mohamad Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN), yang hanya memperoleh 7,347 undi.

Pada 11 Sept, Ahli Parlimen DAP Teresa Kok telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh berhubung kenyataannya mengenainya isu pensijilan halal dan menuntut ganti rugi RM25 juta.

Dalam notis yang dihantar oleh peguamnya Sankara Nair and Partners, Kok juga menuntut Akmal membayar semua kos guaman dan perbelanjaan yang timbul dengan saman itu.

Akmal, sebagai balasan, telah berikrar untuk melawannya di mahkamah.

Pada 24 Sept lepas, Timbalan Ketua BN Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pengundi Cina sebagai oportunis dan menggambarkan peratusan keluar mengundi yang rendah bermakna mereka tidak mahu mengundi calon bukan Cina.

Sambil mengucapkan tahniah kepada BN, Loke berkata ia membuktikan formula kerjasama antara BN dan PH di bawah konsep kerajaan perpaduan boleh menyatukan sokongan dan kekuatan ke arah mencapai kejayaan dalam pilihan raya, khususnya di kawasan campuran seperti Mahkota.

Menteri pengangkutan itu juga menambah bahawa keputusan beberapa PRK sebelum ini juga memberi mesej positif dan membina keyakinan di kalangan pelabur asing terhadap kestabilan politik Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS