Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Israel dakwa Nasrallah 'dihapuskan' dalam serangan udara

Belum ada lagi maklum balas diberikan oleh Hizbullah berikutan dakwaan tentera Israel pada Sabtu bahawa pemimpin utama mereka Hassan Nasrallah dan beberapa orang pemimpin lain maut dalam serangan udara Israel baru-baru ini di kawasan pinggir bandar selatan Beirut, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan dalam hantaran di X, jurucakap tentera Israel Avichay Adraee mendakwa Nasrallah “dihapuskan” dalam operasi yang menyasarkan ibu pejabat Hizbullah yang terletak di bawah sebuah bangunan kediaman di pinggir bandar selatan Beirut.

Adraee mendakwa serangan udara itu dijalankan dengan “risikan tepat daripada agensi risikan tentera,” menyasarkan lokasi kepimpinan Hizbullah dilaporkan sedang menyelaraskan serangan terhadap Israel.

Beliau mendakwa bahawa operasi itu turut mengakibatkan kematian Ali Karki, ketua bahagian selatan Hizbullah, serta beberapa lagi komander pertubuhan itu.

Israel telah mengebom Lubnan sejak awal Isnin dengan serangan yang telah mengorbankan lebih 700 mangsa dan mencederakan hampir 2,200 orang, menurut angka yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Lubnan.

Kementerian itu juga menyatakan bahawa jumlah kematian di Lubnan sejak Oktober lepas adalah 1,540 orang, selain lebih 77,000 penduduk dipindahkan dari bahagian selatan dan timur negara itu.

Hizbullah dan Israel terlibat dalam serangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah mengorbankan lebih 41,500 mangsa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak sejak 7 Okt lepas.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran terhadap serangan di Lubnan kerana ia boleh meningkatkan risiko konflik Gaza bertukar menjadi perang serantau.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS