Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN sapu Mahkota, rampas undi PN tapi sokongan Cina merosot
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 9:43 PM
Dikemaskini: 1:43 PM

Gabungan Madani memenangi pilihan raya kecil (PRK) Mahkota dengan kemenangan besar, dengan BN mengutip hampir 28,000 undi dan menang di semua daerah mengundi.

Keputusan itu juga menunjukkan bahawa gabungan Madani berjaya mempengaruhi sebilangan pengundi Melayu PN pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 untuk mengalihkan undi.

Bagaimanapun, kemenangan itu berlatarbelakangkan peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 54 peratus dan turut menyaksikan penurunan ketara dalam sokongan pengundi Cina.

Analisis ini membandingkan data daripada PRK kali ini dengan PRU ke-15 apabila pengundi Mahkota membuang undi untuk kerusi Parlimen Kluang, dan pilihan raya negeri Johor pada Mac 2022.

Data peringkat daerah mengundi yang dipaparkan BN semasa pengiraan undi menunjukkan gabungan gabungan Madani berjaya memenangi semula tiga daerah mengundi - Kampung Melayu I, Kampung Melayu II dan Sri Tengah - yang dimenangi PN sebelum ini semasa PRU15.

BN juga menghapus kelebihan PN di Kampung Baru, sebuah daerah yang banyak diberi perhatian oleh pembangkang semasa PRK.

Prestasi keseluruhan PN juga merosot berbanding dua kali pengundi Mahkota pergi ke peti undi.

Tanpa mengambil kira undi pos dalam semua senario, bahagian undi PN di Mahkota menurun kepada 20.8 peratus (7,222 undi) berbanding 30.5 peratus (10,575 undi) pada PRU15 dan 21.3 peratus (7,296 undi) pada pilihan raya negeri.

Bahagian undi awalnya - yang datang dari kem tentera Mahkota - juga merosot kepada 25.9 peratus (1,088 undi) berbanding 58 peratus (1,825 undi) pada PRU15 dan 42 peratus (1,022 undi) pada pilihan raya negeri.

Pencapaian itu menandakan kesinambungan peningkatan sokongan orang Melayu terhadap gabungan Madani, yang turut diperhatikan semasa PRK Nenggiri.

Sementara itu, meski undi BN dan PH digabungkan untuk calon BN meraih 79 peratus undi, ini nampaknya telah dicapai dengan sokongan kaum Cina yang lebih rendah.

Di Bandar Tengah, daerah yang mempunyai pengundi Cina paling ramai di Mahkota dengan hampir 80 peratus penduduknya adalah Cina, hanya 1,335 undi dibuang - dengan 1,212 undi diraih gabungan Madani.

Sebagai perbandingan, 1,925 undi telah dibuang di Bandar Tengah semasa PRU15, dengan PH memperoleh 1,442 undi dan BN, 349 undi ketika itu.

Keputusan hari ini mirip pilihan raya negeri, dengan 1,418 undi dibuang di Bandar Tengah, di mana 1,042 mengundi PH dan 299 mengundi BN.

Pilihan raya negeri, seperti hari ini, juga mengalami peratusan keluar mengundi yang rendah.

Tahap sokongan PN di Bandar Tengah secara relatifnya tidak berubah, daripada 95 pada pilihan raya negeri, 129 pada PRU15, dan 123 hari ini.

Daerah pengundian majoriti bukan Melayu lain yang peratusan keluar mengundi lebih rendah hari ini berbanding PRU15 termasuk Taman Lian Seng dan Indah Jaya.

Walaupun bukan boikot sepenuhnya, angka itu menunjukkan bahawa sejumlah besar pengundi Cina tidak mengambil bahagian dalam PRK Mahkota.

Terdapat rasa tidak puas hati yang meluas di kalangan pengundi Cina sebelum PRK, antara lain dikaitkan dengan serangan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu sijil halal. Kok dilihat sebagai mempertahankan hak bukan Melayu.

Rasa tidak senang itu bertambah buruk apabila Timbalan Pengerusi BN Johor Nur Jazlan Mohamed menyifatkan pengundi Cina sebagai oportunistik dan membayangkan bahawa peratusan keluar mengundi yang rendah bermakna mereka tidak mahu mengundi calon bukan Cina.

Ini adalah PRK kedua yang mencatatkan penurunan ketara dalam peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina selepas PRK Sungai Bakap.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS