Presiden Umno Zahid Hamidi mengingatkan Syed Hussien Syed Abdullah supaya membalas jasa pengundi yang memenangkannya dalam pilihan raya kecil, Mahkota, Johor hari ini.
“Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita,” katanya.
BN mempertahankan kerusi itu dengan majoriti yang jauh lebih besar.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Syed Hussien jauh meninggalkan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,609 undi.
Syed Hussien memperoleh 27,941 undi manakala Mohamad Haizan meraih 7,332 undi.
Dalam kenyataan segera sebentar tadi, Zahid mengingatkan bahawa kemenangan itu hadir bersama amanah yang berat.
Katanya, kemenangan di Nenggiri sebelum ini dan Mahkota hari ini bukan asbab untuk mendabik dada, jauh sekali berasa megah dan selesa.
“Sebaliknya, ia adalah isyarat yang jelas dari rakyat bahawa kami harus berusaha lebih kuat untuk memberikan yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna di masa akan datang,” katanya.
Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan moral.
PRK DUN Mahkota, yang terletak dalam parlimen Kluang, diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.