Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banyak negara keluar dewan ketika PM Israel berucap
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 8:51 PM
Dikemaskini: 1:23 PM

Perwakilan Indonesia pada Sesi Ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 79) keluar dari dewan sebagai tanda protes sebelum ucapan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).

Para perwakilan meninggalkan tempat duduk mereka ketika Netanyahu menghampiri podium untuk menyampaikan ucapan kepada peserta perhimpunan pada 27 Sept waktu tempatan.

Suasana dalam dewan menjadi riuh-rendah ketika perwakilan meninggalkan tempat duduk mereka, menyebabkan Presiden Perhimpunan Philemon Yang merayu agar keadaan kembali menjadi terkawal.

Perwakilan dari beberapa negara lain, termasuk Kuwait, Iran, Pakistan, Malaysia dan Cuba, turut menyertai Indonesia dalam protes itu.

Negara berkenaan adalah anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab, dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), yang menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi dalam mesejnya semasa UNGA 79 menumpukan perhatian utama kepada isu Palestin, yang disampaikannya semasa forum multilateral atau mesyuarat dua hala.

Pada mesyuarat menteri mengenai situasi di Gaza pada 26 Sept, beliau menekankan bahawa pengiktirafan kedaulatan Palestin adalah penting untuk memberi harapan kepada rakyat Palestin.

"Ia adalah langkah penting ke arah mencapai penyelesaian dua negara. Paling penting, ia adalah satu-satunya cara untuk memberi tekanan politik kepada Israel bagi menamatkan kekejamannya," katanya.

Marsudi mengkritik negara-negara yang menangguhkan pengiktirafan terhadap Palestin, dengan menyatakan menunggu "masa yang sesuai."

"Bilakah masa yang sesuai itu? Bagi saya, masanya adalah sekarang. Masanya adalah sekarang," tegasnya.

"Kita tidak mahu menunggu sehingga semua rakyat Palestin diusir, sehingga 100,000 orang terbunuh, untuk mengatakan bahawa ini adalah masa yang sesuai," katanya.

Marsudi turut menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan Resolusi ES-10/24 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang menyeru penamatan pendudukan haram Israel ke atas Wilayah Palestin, serta kepentingan sokongan berterusan kepada UNRWA, badan PBB untuk pelarian Palestin.

- Bernama-Antara


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS