Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Biar Eropah terus amal LGBT agar bangsa mereka pupus - Dr M

Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini secara sinis berharap bangsa Eropah meneruskan gaya hidup LGBT supaya bangsa mereka pupus satu hari nanti.

Dalam ucapannya pada perbincangan meja bulat mengenai peranan wanita Islam di Malaysia, Dr Mahathir mengingatkan hadirin supaya berhati-hati apabila mencontohi bangsa Eropah, terutama dalam soal moral.

"Sebab itu kita dapati di Eropah umpamanya, apa salahnya kalau wanita membuat apa yang lelaki boleh buat walaupun tak baik. Jadi itu pendapat mereka, perlu ada persamaan. Dan sekarang ni kita dapati di Eropah lelaki boleh kahwin dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan.

"Saya harap mereka akan teruskan fahaman ini, kerana apabila mereka amalkan LGBT ini mereka tak mungkin dapat anak, jadi lama kelamaan bangsa mereka akan hilang.

“Sebab itu kita harus berhati-hati. Walau kita kejar persamaan, kita bezakan pendapat mereka dengan pendapat kita. Kita di Malaysia ini kita tuntut persamaan tapi ada hadnya.

"Kita kekalkan nilai moral kita. Kita tak dijadikan sedemikian sehingga kita samakan lelaki dengan perempuan ke tahap yang terdapat di Eropah," kata Mahathir dalam ucapan penutupnya pada majlis bertajuk 'Masa depan umat Islam di Malaysia: Peranan wanita antara tuntutan dan kewaspadaan'.

Program itu diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya dan melibatkan pemimpin wanita Islam, aktivis dan ahli akademik.

Konsep keluarga akan lenyap

Dalam ucapannya, bekas perdana menteri itu turut memuji wanita di negara ini atas pencapaian mereka dan menggesa golongan itu untuk terus berusaha dalam memperjuangkan peluang yang sama.

Namun katanya sikap keterlaluan seperti yang berlaku di Barat boleh memudaratkan masyarakat.

"Kita punya amalan satu-satu keluarga itu adalah pasangan lelaki dengan wanita, dengan anak-anak mereka apabila mereka berkahwin antara lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, mereka tak dapat anak.

"Jadi kalau nak anak mereka terpaksa guna orang lain untuk bekal anak, bagi dapat anak kepada mereka. Dengan ini konsep family, keluarga akan hilang.

"Sebab itu dalam kita menuntut persamaan di Malaysia ini, kita harus memikir dengan mendalam, jangan kita turut semua dilakukan orang Barat ini kerana ia tidak baik untuk masyarakat kita,” katanya.

Bekas perdana menteri itu berkata tiada masalah untuk wanita bersaing dengan lelaki tetapi ada batasnya.

"Umpamanya, sekarang ini pesawat pejuang pun boleh dipandu wanita. Itu tak jadi masalah, tapi taklah sampai ke tahap terima LGBT, hapuskan nikah kahwin dan keluarga yang kita amalkan di dalam negara kita ini," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS