Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan Islam wajib undi PAS jika mahu keadilan, kata Balachandran
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 2:41 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Jika inginkan keadilan di negara ini dilaksanakan, kata Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), orang bukan Islam hanya mempunyai satu pilihan iaitu mengundi PAS dalam PRU akan datang.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, Balachandran Gopal Krishnan, mendakwa dengan memberikan PAS kuasa menjadi kerajaan parti itu akan membawa keadilan seperti yang dijamin al-Quran dan sunnah.

So mereka (orang bukan Islam) tidak ada pilihan lain.

"Sebelum ini mungkin dia orang kata Anwar Ibrahim is there (menjadi perdana menteri). Tetapi dia memberi harapan kosong.

"Kalau orang India khususnya nak menikmati kesejahteraan dan rasa mereka tidak dipinggirkan, mereka wajib mengundi PAS," katanya yang dipetik lidah rasmi parti itu, Harakahdaily.

DHPP merupakan sayap PAS yang menghimpunkan ahli dalam kalangan bukan Islam. Ia bermula sebagai Kelab Penyokong PAS sebelum statusnya dinaikkan pada 2010.

PAS kemudian melakar satu lagi sejarah apabila muktamar yang berlangsung di Pahang baru-baru ini membuat pindaan perlembagaan parti dengan membuka keahliannya kepada orang bukan Islam.

Bukan isu nak, tak nak

Dengan perubahan itu seseorang yang bukan beragama Islam - dan bukan pula ateis - boleh menjadi ahli bersekutu PAS.

Kata Balachandran dia membuat penegasan dan keyakinan berkenaan kerana senario semasa menunjukkan ia adalah realiti.

Bagi membolehkan "keadilan" yang dimaksudkannya itu menjadi kenyataan orang bukan Islam mempunyai peluang untuk menjadikan ia kenyataan iaitu apabila PRU ke-16 dilangsungkan nanti.

Dia yang juga pegawai khas bagi hal ehwal bukan Islam kepada Menteri Besar Terengganu menambah, jika orang bukan Islam masih enggan menerima cadangan tersebut, ada kemungkinan golongan terbabit mengalami fobia terhadap agama berkenaan.

Keadaan itu, katanya, disebabkan oleh "fitnah orang ramai" namun mencadangkan orang bukan Islam "mencari kebenaran tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.”

Menurut Balachandran orang bukan Islam wajar berkunjung ke Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk melihat sendiri bagaimana kerajaan negeri terbabit mentadbir.

Katanya hanya dengan cara itu orang bukan Islam boleh memahami dan menikmati keadilan yang dimaksudkannya apabila PAS memimpin negara suatu hari nanti.

“Insya-Allah PRU ke-16. So dalam konteks itu saya yakin ini bukan isu dia nak pilih atau tidak. Ini isu wajib mereka memilih kita (PAS),” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS