Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mangsa banjir di Kedah meningkat, satu PPS baru dibuka
Diterbitkan:  Sep 28, 2024 9:05 AM
Dikemaskini: 1:05 AM

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 243 orang daripada 59 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 207 orang daripada 49 keluarga malam tadi dengan sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kubang Pasu.

Laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang dibuka awal pagi tadi menempatkan 36 mangsa daripada 10 keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah Pendang kekal seramai 207 orang daripada 49 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah dan SMK Pendang.

Berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 8 pagi paras air Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu serta Sungai Sari di Kilang Gula Padang Terap dan Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap melebihi paras bahaya.

Sementara itu Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling; Sungai Bata di Kampung Bata, Kubang Pasu; Sungai Janing di Kampung Labi, Padang Terap; serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar melebihi tahap waspada.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS