Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahu berucap dari hati ke hati, MB Johor minta Shu Qi terjemah Mandarin

PRK MAHKOTA | Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi malam ini memanggil Ahli Parlimen Kluang DAP Wong Shu Qi ke atas pentas untuk menterjemah ucapannya ke dalam bahasa Mandarin untuk hadirin yang kebanyakannya dari kaum Cina.

Dia memberitahu kira-kira 500 yang hadir di ceramah di Kampung Masjid Lama di Kluang, Johor bahawa dia ingin bercakap dengan hadirin "dari hati ke hati".

Dia seterusnya berkata dia meminta sejumlah RM60 juta daripada Belanjawan 2025 akan datang untuk pembinaan jalan baru di Kluang.

Orang ramai yang berkumpul bersorak selepas Wong menterjemah perkara itu, yang menyebabkan Onn Hafiz secara berseloroh bertanya kepadanya sama ada dia telah menterjemah dengan betul.

“Dia betul translate? Saya tengok dia tepuk macam dia sudah lulus bajet," katanya berseloroh.

Semasa berucap, dia meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan peruntukan bagi menyelesaikan isu lalu lintas di Kluang.

Selain itu, Onn Hafiz berkata dia akan bekerjasama rapat dengan Syed Hussien Syed Abdullah jika calon BN itu menang.

"Sebab kalau dia tak buat kerja.." kata Onn Hafiz, sebelum dicantas hadirin yang menjerit "rotan dia," sambil disambut ketawa hadirin lain.

"Saya akan kerjakan dia," sambung Onn Hafiz.

Ceramah ini merupakan ceramah terakhir yang diadakan oleh kerajaan perpaduan sebagai sebahagian daripada kempen untuk calon BN Syed Hussien bagi PRK Mahkota.

Perikatan Nasional mengadakan ceramah terakhirnya semalam.

Syed Hussien, yang juga Ketua Pemuda Umno Kluang, akan berdepan calon PN Mohd Haizan Jaafar untuk kerusi DUN Johor itu esok.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang Umno, Sharifah Azizah Syed Zain, pada 2 Ogos lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS