Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu GISBH: Tiada kompromi jika langgar akidah, syariah - MB Pahang

Kerajaan Pahang memandang serius isu berkaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan tidak akan berkompromi sekiranya terdapat ajaran yang melanggar akidah atau syariah di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, berhubung tindakan penguatkuasaan dan siasatan terhadap individu serta premis yang dikaitkan dengan GISBH di Pahang.

“Sekarang ini, (aktiviti berkait dengan GISBH) dalam siasatan polis dan sudah tentulah kita ambil berat juga memandangkan ia isu semasa, topik hangat dan perbualan orang ramai, jadi kita memantaulah.

“Kalau kita ada laporan (mengenainya), kita sampaikan maklumat tersebut kepada pihak polis untuk disiasat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah FELCRA Berhad (FELCRA) dan Skim Tanah Rakyat Daerah Temerloh di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di Temerloh, Pahang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai situasi GISBH di negeri itu sama ada membimbangkan atau sebaliknya.

Sebelum ini, media melaporkan lima kanak-kanak yang ditemukan dalam serbuan di dua premis rumah kebajikan di daerah ini dipercayai ada kaitan dengan GISBH, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di Temerloh.

Kesemua kanak-kanak berusia antara empat hingga 12 tahun itu telah dirujuk sebagai kes pencegahan penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak dan pemeriksaan awal HOSHAS mendapati, terdapat kesan parut lecur lama dan lebam pada badan kanak-kanak berkenaan.

Selain itu, pihak HOSHAS juga mengesan simptom dan tanda-tanda kekurangan zat makanan dan kekurangan berat badan kanak-kanak terbabit, serta siasatan terhadap kecederaan fizikal.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program hari ini Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang yakin sasaran jumlah hak milik tanah negeri itu dapat ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya satu juta hak milik dalam tempoh tiga tahun.

“Sekarang ini, sudah ada lebih 800,000 hak milik (tanah negeri yang sudah diberikan kepada pemohon). Kerajaan Pahang bersetuju meluluskan 337 hak milik bagi FELCRA Kerdau merangkumi FELCRA Kerdau 1, 2 dan 3.

“Bagi Skim Tanah Rakyat (STR) (untuk hari ini), kerajaan negeri telah meluluskan 1,128 hak milik merangkumi 14 STR. Jumlah keseluruhan hak milik diluluskan oleh kerajaan negeri bagi FELCRA Kerdau 1, 2 dan 3 dan 14 STR di Temerloh ialah sebanyak 1,465 hak milik,” katanya dan menambah kelulusan tanah yang diberikan itu adalah untuk kegunaan pertanian dan kediaman.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS