Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM nafi terima arahan jangan siasat individu tertentu
Diterbitkan:  Sep 27, 2024 3:54 PM
Dikemaskini: 8:44 AM
1

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan menerima arahan agar tidak melakukan siasatan terhadap individu tertentu membabitkan pembelian saham sebuah syarikat.

Dalam kenyataannya hari ini, SPRM berkata dakwaan yang terkandung dalam laporan sebuah portal tempatan dan antarabangsa itu adalah tidak tepat dan tidak mempunyai kredibiliti.

"Untuk makluman setiap tindakan penguatkuasaan dijalankan oleh suruhanjaya ini adalah "without fear of favour" tanpa ada campur tangan mana-mana pihak, adil tanpa prasangka dalam semua keadaan berteraskan prinsip kedaulatan serta keluruhuran undang-undang.

"SPRM yakin perkara tersebut merupakan tohmahan liar serta tidak bertanggungjawab yang sengaja dilemparkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap suruhanjaya ini," jelasnya dalam kenyataan.

Semalam, portal MalaysiaNow yang memetik laporan Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan ketua pesuruhjaya SPRM supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador.

Ia berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen bernilai RM1 bilion, lapor Bloomberg yang memetik tiga sumber yang disifatkan arif mengenai perkara itu.

Farhash pada Mac lalu dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam Heitech Padu Berhad yang disenarai pendek untuk projek berkenaan.

Bagaimanapun HeiTech Padu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada April berkata Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama dalam syarikat berkenaan.

Ini disebabkan oleh perubahan dalam pegangan saham dalam Mfivesouthsea Sdn Bhd, syarikat induk Rosetta Partners Sdn Bhd.

Rosetta Partners menjadi pemegang saham besar dalam HeiTech Padu selepas ia membeli 15.9 peratus kepentingan dalam syarikat itu pada 12 Mac 2024 melalui urus niaga perniagaan langsung.

HeiTech Padu menjadi tumpuan selepas menganugerahkan kontrak RM190 juta daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penyelenggaraan dan sokongan teknikal Infrastruktur ICT termasuk MySikap di pusat data dan pejabat JPJ.

Sementara itu, Bloomberg dalam laporannya berkata kakitangan SPRM turut diarahkan untuk menggambarkan siasatan ke atas bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin sebagai sebahagian daripada "penyiasatan berterusan” terhadap pendedahan Kertas Pandora dan Panama.

Menurut laporan itu, tindakan Anwar sejak dilantik perdana menteri dilihat bercanggah dengan janjinya ketika memimpin gerakan reformasi selama lebih dua dekad.

Ia berkata Anwar gagal menunaikan janji untuk memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan, sebaliknya menggunakan undang-undang itu terhadap musuh politiknya termasuk Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, SPRM berkata suruhanjaya itu tidak membuka kertas siasatan sewenang-wenangnya tanpa bukti dan fakta.

Menurutnya setiap siasatan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) berlandaskan undang-undang yang diperuntukkan serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

"SPRM juga tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak untuk mengalihkan perhatian daripada kes-kes rasuah dan penyelewengan yang sedang giat disiasat ketika ini dengan pelbagai tohmahan yang sengaja direka-reka," katanya.

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan Anwar mengarahkan SPRM supaya menyiasat Mahathir, anak-anaknya dan Daim.

PMO juga menafikan mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki supaya tidak menyiasat pembelian saham oleh Farhash.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS