Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketika pemilihan DAP Johor semakin hampir, pengerusi parti negeri itu Liew Chin Tong dikatakan akan melepaskan jawatannya.

Malaysiakini difahamkan Liew menyuarakan hasratnya menyerahkan baton kepimpinan pada mesyuarat terakhir jawatankuasa negeri DAP Johor.

Namun, masih tidak jelas sama ada Liew bercadang untuk bertanding jawatan jawatankuasa DAP negeri atau tidak.

Berdasarkan pemilihan dua peringkat DAP, perwakilan parti akan terlebih dahulu mengundi untuk memilih 15 anggota jawatankuasa negeri. Kemudian 15 anggota jawatankuasa baru ini akan memilih pemegang jawatan di kalangan mereka, termasuk pengerusi negeri.

Kebiasaannya, pemimpin pusat DAP juga memegang jawatan penting dalam jawatankuasa negeri masing-masing. Sebagai contoh, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan ketua whip parlimen parti itu Nga Kor Ming masing-masing pengerusi bagi Negeri Sembilan dan Perak.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pemimpin peringkat kebangsaan yang tidak bertanding dalam pemilihan jawatankuasa negeri.

Misalnya, pengerusi kebangsaan Lim Guan Eng tidak mengambil bahagian dalam pemilihan jawatankuasa negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketika ditanya jika dia merancang untuk kekal sebagai pengerusi negeri, Liew enggan memberi komen dan memberitahu Malaysiakini, "kita akan bercakap selepas pilihan raya kecil (Mahkota) ini."

Malaysiakini juga menghubungi beberapa ahli jawatankuasa negeri DAP Johor yang lain, tetapi mereka enggan mengesahkan Liew telah menyatakan hasrat untuk berundur dan mencadangkan Malaysiakini bertanya sendiri kepada Liew.

Menurut pengarah pendidikan politik DAP Johor Alan Tee, Liew menyebut ini kali terakhir dia mempengerusikan mesyuarat sebagai pengerusi jawatankuasa negeri untuk penggal semasa.

"Saya tidak tahu… Katanya ini kali terakhir dia (memimpin mesyuarat) sebagai pengerusi negeri untuk penggal ini kerana (jawatankuasa) akan dibubarkan bulan depan. Jadi, dia tidak akan lagi mempengerusikan mesyuarat sebagai pengerusi negeri untuk penggal ini. Itulah pemahaman saya," katanya.

Jika Liew berundur, penggantinya yang paling berkemungkinan ialah timbalannya, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Teo juga merupakan setiausaha publisiti kebangsaan DAP, ketua wanita kebangsaan parti itu dan timbalan menteri komunikasi.

Apabila ditanya Malaysiakini melalui pesanan teks sekiranya dia bersedia untuk menggantikan Liew jika dia berundur, Teo menjawab dengan kiasan: “Jangan kira anak ayam sebelum telur menetas.”

Ramai yang percaya Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Pin dan penyokongnya sekali lagi akan cuba mencabar kem Liew. Namun, kem Tan menghadapi cabaran yang besar.

Kem Tan hampir menyingkirkan Liew pada pemilihan DAP Johor 2018, tetapi dalam pemilihan 2021, kemnya menghadapi kemerosotan yang ketara.

Tan, bersama sekutu seperti Ee Chin Li dan Cheo Yee How, tersingkir pada pusingan pertama pengundian dan tidak terpilih dalam jawatankuasa negeri.

Semasa pilihan raya negeri Johor pada tahun berikutnya, DAP menghadapi perselisihan besar mengenai pertukaran calon.

Akhirnya, parti mencapai kompromi dengan Ee, Ng Yak Howe dan Yeo Tung Siong dikekalkan manakala Tan dijangka bertanding kerusi parlimen dan Cheo digugurkan.

Malaysiakini telah cuba menghubungi Tan untuk mengesahkan jika dia akan mengambil bahagian dalam pemilihan parti yang akan diadakan dalam tempoh sembilan hari, tetapi gagal mendapatkan maklum balasnya.

Yeo mengesahkan kepada Malaysiakini dia telah menerima pencalonan dan akan bertanding untuk jawatan dalam jawatankuasa DAP Johor.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS