Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chegubard akui kes calon BN diklasifikasi tiada tindakan lanjut

PRK MAHKOTA | Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badul Hisham Shaharin mengakui dia telah dimaklumkan yang siasatan polis terhadap calon BN Syed Hussien Syed Abdullah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut”.

Badrul yang juga dikenali dengan nama Chegubard berkata dokumen yang mengandungi perincian berkenaan penahanan Syed Hussien mengesahkan perkara itu.

“Siasatan yang dijalankan bersabit kes ini menunjukkan pendedahan saya sebelum ini sebenarnya telah dirujuk kepada pejabat timbalan pendakwa raya, namun pejabat timbalan pendakwa raya kata tiada tindakan lanjut.

“Dia kata kes tersebut memang ada. Kalau tak ada (kes), polis nak rujuk apa kepada pejabat timbalan pendakwa raya? Takkan nak rujuk kertas kosong,” katanya ketika program ceramah PN di Taman Sri Kluang malam ini.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh menyangkal dakwaan yang Syed Hussein ada rekod jenayah.

Bahrin berkata nama Syed Hussien tiada dalam rekod sabitan jenayah yang di bawah kesalahan boleh daftar menurut Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7).

Ia selepas Badrul dalam hantaran di media sosial mendakwa Syed Hussien pernah memiliki rekod jenayah berkaitan kes pergaduhan.

Namun, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Syed Hussien sebenarnya mempertahankan individu OKU dan tidak ditahan polis kerana terlibat dalam pergaduhan.

Namun Badrul menjawab penafian itu dengan sindiran, berkata OKU yang terlibat bukannya “orang kurang upaya”, sebaliknya “orang kuat Umno”.

Syed Hussien yang merupakan ketua Pemuda Umno Klang berdepan dengan Haizan Jaafar yang mewakili PN, dengan pengundi akan membuat pilihan mereka Sabtu ini.

PRK Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya daripada Umno, Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

[Baca berita asal]



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS