Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis selamatkan mangsa culik, penjenayah maut ditembak
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 6:46 PM
Dikemaskini: 10:46 AM

Seorang lelaki warga asing diselamatkan polis selepas dipercayai menjadi mangsa culik kepada penjenayah yang mati ditembak dalam kejadian di Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki warga Indonesia berusia 45 tahun itu dipercayai diculik di kawasan Salak South, Cheras dan ditemukan selamat ketika operasi mengesan penjenayah terbabit.

“Mangsa sudah membuat laporan semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi semalam sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan operasi mengesan suspek yang mempunyai 26 rekod jenayah dan dadah yang disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah serta kedai.

Suspek berusia 37 tahun itu yang ditembak mati selepas dilaporkan mengancam nyawa anggota polis, dipercayai terbabit menculik mangsa bersama dua lagi rakannya yang masih bebas.

Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menemukan tiga parang, kapak, pemotong besi dan kuku kambing yang disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah.

Hussein berkata pihaknya sedang memburu dua lagi rakan suspek yang disyaki bersekongkol dalam kes pecah rumah dan kedai di Damansara, Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS