Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kabinet bincang nasib anak asuhan GISBH minggu depan

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membincangkan nasib 572 anak asuhan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa daripada premis berkaitan organisasi berkenaan.

Menterinya, Nancy Shukri berkata isu berkenaan turut melibatkan kementerian lain.

"Mereka kini berada di rumah selamat dan sihat. Cuma apa langkah seterusnya (yang perlu diambil).

"Jadi, kita akan kemukakan dalam mesyuarat kabinet mengenai tindakan kita seterusnya kerana ia bukan hanya untuk kita merancang tetapi ia juga melibatkan kementerian lain seperti KPM (Kementerian Pendidikan), Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan juga PDRM," katanya kepada pemberita pada majlis di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, kementerian akan mengemukanan cadangan jangka pendek, sederhana dan panjang mengenai masa depan kanak-kanak berkenaan.

Untuk rekod, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuka 11 rumah selamat untuk 572 mangsa kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global setakat ini.

Kementerian perlu dua bulan

Mengulas lanjut, Nancy juga berkata kementerian masih menunggu keputusan mahkamah berkaitan.

"Pada masa ini kami perlu menunggu sehingga dua bulan sekurang-kurangnya tahu apa keputusan mahkamah.

"Tetapi, kami sedang menyediakan cadangan kepada kabinet. Perkaranya ialah kita perlu melihat keputusan apa yang pihak berkuasa perolehi kerana sebahagian daripada mereka diindoktrinasi agak mendalam.

"Kanak-kanak ini juga dari kumpulan umur yang berbeza dan perlu dibimbing oleh pelbagai pihak berkuasa terutamanya pakar daripada pelbagai bidang," katanya.

Katanya, KPWKM sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan untuk melihat keadaan kesihatan mereka selain Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk meneliti identiti mereka kerana sesetengah daripada mereka tidak ada dokumentasi.

"Kami akan melihat apa yang terbaik untuk mereka dan juga ingin memastikan mereka belajar. Kita tidak boleh membuat mereka tidak ada akses pendidikan untuk tempoh yang lama.

"Jadi, ini adalah beberapa perkara yang perlu kita pertimbangkan apabila kita membuat rancangan untuk masa depan dan kemungkinan besar kita akan meletakkan cadangan kita pada minggu depan," tambahnya.

Ketika menjawab satu lagi soalan berhubung kerjasama KPWKM dan polis dalam memantau rumah amal yang lain bagi mencegah perkara ini berulang, Nancy meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan tugas.

"Sebenarnya polis melakukan tugas mereka.

"Kemudian, kementerian kami hanya akan terlibat jika ia melibatkan kanak-kanak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS