Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor ampunkan Sanusi
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 3:29 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengampunkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mempertikaikan kebijaksanaan baginda melantik pemimpin negeri.

Baginda berkata umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas.

Baginda bagaimanapun menasihati Sanusi menjaga tutur kata, tatasusila serta jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan tidak baik ketika bersyarah, terutama di Selangor. 

“Beta tidak mahu rakyat khususnya di negeri Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata yang kesat dan tohmahan yang tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin. 

“Kelakuan dan tutur kata yang baik ini amatlah penting untuk masa depan karier politik Datuk Seri,” titah baginda.

Dua menteri besar—Sanusi dan Amirudin

Keputusan baginda itu disampaikan melalui warkah balasan kepada Sanusi yang dikongsi di media sosial Pejabat Diraja Selangor sebentar tadi.

Sanusi semalam memohon ampun kepada Sultan Sharafuddin kerana berkata seseorang sultan yang "hebat" tidak akan melantik orang seperti Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Kenyataan pemimpin PAS itu dibuat semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) pada  11 Julai 2023 di Gombak, Selangor.

Sanusi berkata dia kesal dengan kesan negatif akibat kenyataannya tetapi menjelaskan tidak berniat mempersenda Sultan Sharafuddin yang amat dihormatinya..

Kenyataan itu membuatkan dia diheret ke mahkamah susulan pertuduhan bawah Akta Hasutan 1948.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS