Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Orang Asli tuntut penjelasan lepas anak mati di lokap

Sejak empat bulan lalu, Noriah Hitam masih menunggu penjelasan daripada pihak polis selepas anak sulungnya, Norazman Me, 25, meninggal dunia ketika ditahan di lokap IPD Pekan, dekat Pekan, Pahang.

Namun, sehingga hari ini, dia yang berusia 51 tahun mendakwa pihak polis gagal memberikan maklumat terperinci mengenai punca anak sulungnya itu ditemui mati ketika dalam jagaan polis.

Kata Noriah, dia boleh menerima anaknya ditangkap polis jika melakukan kesalahan namun dia mahu penjelasan bagaimana anaknya ditemukan meninggal dunia ketika dalam lokap.

"Dia berada dalam jagaan polis, ada CCTV (kamera litar tertutup) dan ada sentri (pengawasan anggota bertugas).

"Takkan mereka tak tahu kalau anak saya itu cuba 'bunuh diri' ketika dalam lokap yang berada dalam kawasan balai polis," katanya ketika sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Sidang media itu dibuat di pejabat peguam mewakili keluarga Noriah, S Bob Arumugam.

Turut hadir, dalam sidang media berkenaan adalah suami Noriah, Me KingKing, 58, dan anak perempuan mereka Rodiah, 19.

Mereka adalah Orang Asli dari suku Jakun.

Noriah yang menetap di Kampung Orang Asli Runchang, dekat Pekan, berkata anaknya itu ditahan pada 1 Mei lalu di sekitar Kampung Sungai Miang, dekat Pekan kerana disyaki mencuri motosikal.

Selepas ditahan, Norazman ditempatkan di lokap IPD Pekan sehingga ditemui meninggal dunia di selnya pada 4 Mei.

"Polis ada telefon saya jam 3 pagi pada 4 Mei, namun ketika itu saya tak sempat angkat sebab telefon tengah cas di ruang tamu.

"Pada hari sama, sekitar jam 8 pagi pihak polis sekali lagi menelefon saya memaklumkan anak saya sudah meninggal dunia dan meminta kami sekeluarga ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses pengecaman dan tuntutan jenazah.

"Ketika kami sampai di HTAA, proses bedah siasat dah selesai dan mereka cakap kami dah boleh ambil, bawa balik jenazah," ujarnya lagi.

Tak beri tengok rakaman CCTV

Katanya, usaha untuk ahli keluarga menonton semula rakaman CCTV berhampiran lokap pada hari kejadian juga tidak dilayan pihak polis.

"Ketika di HTAA mereka cakap boleh tengok CCTV, tapi bila kami pergi ke IPD Pekan, mereka tak bagi tengok.

"Jadi, apa sebenarnya berlaku ketika hari kejadian? Kami memang nak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada anak kami?" katanya.

Sementara itu, Me memberitahu Norazman, yang merupakan anak sulung dari tiga beradik itu tidak mempunyai kerja tetap dan berstatus duda.

"Dia pernah kahwin dan ada seorang anak berusia enam tahun hasil perkahwinan itu.

"Saya pun tak sangka jadi macam ini, sebelum itu dia cakap nak pergi rumah saudara kami di Sungai Miang sebab ada kerja.

"Lepas tu kami dapat tahu dia kena tangkap dan ada di lokap IPD Pekan.

"Masa kena tangkap, dia bersama kawan dan mereka ditempatkan dalam sel berasingan," katanya sambil memaklumkan kawan anaknya itu sudah dihukum penjara dan kini berada di Penjara Penor, Kuantan.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman ketika dihubungi bagi mendapatkan komen berkaitan kes itu memaklumkan, pihaknya sudah melakukan siasatan awal susulan insiden membabitkan Norazman.

"Tangkapan dibuat kerana kesalahan mencuri motosikal dan ditahan di lokap IPD Pekan.

"Kes ini telah dibuka kertas siasatan SDR (mati mengejut) selepas kematian," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Dia turut bersedia untuk bertemu dengan keluarga mangsa bagi tujuan penjelasan lanjut berkaitan kes itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS