PRK MAHKOTA | Barisan Nasional (BN) perlu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota untuk menjadi momentum dan suntikan semangat menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kemenangan di DUN Mahkota dapat membawa imej positif kepada BN, khususnya Umno selepas kejayaan pada PRK DUN Nenggiri di Kelantan bulan lepas, yang menunjukkan transformasi termasuk menurunkan calon muda dilakukan parti, berkesan.
"Kejayaan ini (juga) boleh meningkatkan moral bagi Kerajaan Perpaduan dengan menunjukkan keberkesanan gabungan mereka dan keupayaan untuk menang. Untuk kami di Sabah, kejayaan ini memberi anjakan paradigma untuk lebih yakin dan bersemangat menghadapi PRN," katanya semasa menghadiri Majlis Jalinan Kasih di Taman Matahari di sini.
Sehubungan dengan itu, Bung Moktar merayu pengundi untuk memberi sokongan kepada calon BN Syed Hussien Syed Abdullah pada Sabtu ini, manakala jentera parti diingatkan terus menggiatkan usaha menyantuni pengundi dalam tempoh saat-saat akhir sebelum tempoh berkempen tamat tengah malam esok.
Pentadbiran Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi yang kukuh dan stabil tanpa isu besar, menurut Bung Moktar dapat memberi keyakinan kepada pengundi bahawa calon BN adalah pilihan tepat untuk terus memacu pembangunan di Johor.
"Pengundi tempatan melihat kestabilan pentadbiran sebagai asas kepada pilihan mereka. Tidak ada sebab kenapa pengundi di DUN Mahkota menolak BN pada PRK kali ini. Banyak perubahan dari segi pembangunan dan kesejehteraan rakyat telah diberikan perhatian oleh kerajaan negeri," katanya.
PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas.
- Bernama