mk-logo
Berita
Kumpulan bantah insinerator Batu Arang berhimpun di MPS Selasa ini

Kumpulan pendesak Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) hari ini mengumumkan akan mengadakan bantahan terhadap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada Selasa ini dan mengajak penduduk Rawang untuk turut serta.

Ini sebagai respons terhadap keputusan MPS baru-baru ini untuk menukar zon tanah kediaman di Batu Arang, Rawang kepada kategori industri, yang membolehkan pembinaan insinerator mega yang dirancang di lokasi tersebut.

Jurucakap JRTI, Abdul Hanan Abd Mokti berkata perhimpunan ini bertujuan untuk menyampaikan mesej kepada MPS bahawa penduduk Rawang kecewa dengan keputusan pihak berkuasa meluluskan permohonan menukar zon tanah tersebut walaupun terdapat bantahan kuat terhadap projek insinerator itu.

“MPS mempunyai pilihan untuk mengekalkan draf rancangan tempatan tanpa perubahan atau mengubahnya berdasarkan bantahan ini, seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 15(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa.

“Namun, mereka meluluskan rancangan tersebut tanpa sebarang perubahan, mengabaikan maklum balas komuniti. Draf rancangan tempatan itu dipercayai kini sedang menunggu kelulusan akhir daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.

“JRTI dan rakan sekutu kami sangat kecewa dengan keputusan MPS dan menuntut penjelasan terperinci tentang pengabaian mereka terhadap bantahan komuniti,” katanya pada sidang media di Bandar Tasik Puteri pagi ini.

Hanan turut disertai oleh wakil-wakil beberapa kumpulan lain yang menentang projek insinerator WTE di Batu Arang.

Gabungan tersebut turut mendesak kerajaan Selangor menolak draf pindaan rancangan tempatan tersebut.

Menurut Hanan, protes yang dirancang antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari di hadapan pejabat MPS di Selayang pada Selasa ini akan menjadi perhimpunan pertama di luar kawasan mereka.

Sebelum ini kumpulan berkenaan telah menganjurkan beberapa demonstrasi lain di kawasan Batu Arang dan Bandar Tasik Puteri, yang menurut penduduk setempat akan terjejas teruk oleh pembinaan insinerator tersebut.

Gabungan ini berharap kehadiran antara 150 hingga 200 orang namun mengalu-alukan lebih ramai penduduk Rawang untuk turun berhimpun bagi menghantar mesej yang lebih kuat.

Hanan berkata mereka juga akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan penukaran zon tersebut dan berharap agar pihak majlis tempatan akan membatalkannya.

Tambahnya lagi, JRTI merancang untuk mengadakan bantahan di Dewan Negeri Selangor jika kerajaan negeri terus mengabaikan seruan mereka untuk bantuan.

Menurut kumpulan itu, mereka telah mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan perhatian pihak berkuasa sejak tahun lepas, termasuk membuat permohonan bertemu dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, tetapi tidak berhasil.

JRTI juga tidak menerima sebarang maklum balas terhadap surat yang mereka hantar kepada Istana Selangor untuk meminta campur tangan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, kata Hanan lagi.

Sebelum ini, dilaporkan dua insinerator WTE dijangka akan beroperasi serentak dalam radius 15km dari bandar Rawang.

Insinerator pertama Loji Tenaga Hijau WTE Sultan Idris Shah (SIS) di bawah seliaan kerajaan negeri, yang kini sedang dibantah.

Loji ini akan diselia oleh Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) Waste Management dan YTL Power International Bhd.

KDEB anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI Selangor).

Insinerator kedua pula insinerator WTE yang dipindahkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pada asalnya dirancang dibina di Taman Beringin, Kepong dan kemudian dipindahkan ke Rawang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS