Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lau persoal perkembangan terkini pencarian semula MH370
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 12:44 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Presiden Gerakan Dominic Lau meminta kerajaan memberi maklumat terkini mengenai usaha untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Dalam satu kenyataan Lau mempersoalkan apakah kerajaan telah mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat pengesan dasar laut Amerika Syarikat, Ocean Infinity.

Menurutnya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, semasa menghadiri acara memperingati ulang tahun ke-10 kehilangan MH370 pada Mac tahun ini, memberi jaminan akan meyakinkan anggota kabinet bagi menandatangani perjanjian "tiada penemuan, tiada bayaran" dengan Ocean Infinity, untuk mempercepatkan pencarian semula pesawat tersebut.

"Pada hari tersebut, keluarga penumpang penerbangan MH370 dari Malaysia, Australia, India, dan China turut hadir dalam acara peringatan itu.

"Ramai daripada mereka tidak dapat menahan air mata setelah mendengar jaminan yang diberikan oleh Anthony Loke. Kini hampir 7 bulan telah berlalu, dan saya yakin keluarga mangsa serta rakyat Malaysia ingin tahu sama ada usaha pencarian akan disambung semula, dan bila ia akan dijalankan?"

"Namun, selepas janji tersebut dibuat, Loke belum memberi sebarang butiran lanjut atau perkembangan terkini kepada umum," katanya.

Mac lalu, Loke berkata Ocean Infinity akan membentangkan pelan pencarian baharu MH370 kepada Kementerian Pengangkutan pada awal Mei.

Pada Mei lalu, Loke mengesahkan kerajaan sedang mengkaji cadangan daripada syarikat itu untuk menyambung semula pencarian pesawat berkenaan.

Mengulas lanjut, Lau berkata sekiranya pencarian MH370 disambung semula dan bangkai pesawat ditemui, ini mungkin akan memberikan petunjuk dan membantu memahami sama ada pesawat mengalami kemalangan.

"Kehilangan misteri MH370 terus menjadi luka di hati keluarga mangsa, dan mereka tidak dapat melupakannya. Walaupun sudah 10 tahun berlalu, keluarga mangsa tidak pernah berputus asa.

"Oleh itu, saya berharap kerajaan perpaduan dapat memberikan perkembangan terkini kepada keluarga mangsa mengenai usaha pencarian ini," ujarnya.

Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 yang terbang dari Kuala Lumpur ke Beijing, China, hilang tanpa jejak. Pada ketika itu, terdapat 227 penumpang dan 12 anak kapal, menjadikan jumlah keseluruhan 239 orang di atas pesawat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS