Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor disembah maklum dengan permohonan maaf Sanusi
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 11:49 AM
Dikemaskini: 7:32 AM
4

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Perkara itu diumumkan oleh pejabat diraja Selangor di media sosialnya pagi ini, hampir 24 jam selepas Sanusi mengumumkan perkara itu petang semalam.

Kenyataan ringkas itu bagaimanapun tidak mengulas lanjut tetapi cuma memaklumkan kembali berkaitan warkah Sanusi kepada sultan.

Warkah rasmi daripada Sanusi yang dihantar kepada istana semalam juga dikongsi.

Sanusi semalam memohon maaf kepada Sultan Sharafuddin kerana berkata seseorang sultan yang "hebat" tidak akan melantik orang seperti Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor.

Kenyataan itu dibuatnya semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) pada  11 Julai 2023 di Gombak, Selangor.

Sanusi berkata dia kesal dengan kesan negatif yang timbul daripada kenyataan itu dan dia tidak berniat untuk mempersenda Sultan Sharafuddin yang amat dihormati dan disanjunginya.

Kenyataan itu membuatkan dia diheret ke mahkamah susulan pertuduhan bawah Akta Hasutan 1948.

Terkini: Sultan Selangor ampunkan Sanusi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS