Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat milik Sabah nafi terlibat cari gali minyak, gas di taman marin
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 10:07 AM
Dikemaskini: 2:07 AM

Sebuah syarikat tenaga milik Sabah menafikan terlibat dalam sebarang aktiviti penerokaan minyak dan gas di taman laut yang dilindungi di negeri itu pada masa ini.

Dalam satu kenyataan, SMJ Energy menegaskan bahawa pada masa ini ia tidak mempunyai pegangan ekuiti dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC), dan bukan pihak dalam perjanjian untuk menjalankan aktiviti minyak dan gas di Blok SB-403 - kawasan penerokaan minyak luar pesisir di utara Sabah yang meliputi kira-kira 10,256 kilometer persegi.

"Bagaimanapun, SMJ Energy mempunyai back-in right (hak kembali) yang membolehkannya memutuskan sama ada untuk menyertai sebagai rakan kongsi pada masa hadapan sekiranya penerokaan berjaya, dengan mengambil kira faktor komersial, teknikal, alam sekitar dan lain-lain.

"SMJ Energy bertindak sebagai pelabur kewangan yang berhemah dan bekerjasama dengan syarikat minyak dan gas terkemuka yang mempunyai rekod prestasi ESG (Alam Sekitar, Sosial & Tadbir Urus) yang terbukti," kata syarikat itu ringkas.

Dalam industri minyak dan gas, back-in right merujuk kepada perjanjian di mana pemilik asal pajakan boleh mendapatkan semula sebahagian keuntungan selepas pemilik baru memperoleh semula kos pengeluaran mereka.

Semalam, badan pemerhati alam sekitar RimbaWatch menggesa kerajaan Sabah supaya tidak meluluskan sebarang aktiviti penerokaan minyak dan gas dalam Blok SB-403, yang terletak di dalam Taman Laut Tun Mustapha.

Menurut kumpulan itu, taman tersebut disenaraikan sebagai kawasan perlindungan marin Kategori VI oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang hanya membenarkan aktiviti berimpak rendah.

“Aktiviti minyak dan gas berisiko merosakkan persekitaran marin taman itu, termasuk risiko kepada 45,000 hektar terumbu, 17,000 hektar hutan bakau dan lebih 180 spesies yang terdedah dan terancam.

"Aktiviti ini juga mengancam mata pencarian lebih 85,000 penduduk kampung nelayan, termasuk dari masyarakat Bajau Laut dan Ubian," kata RimbaWatch dalam satu kenyataan.

Petronas dilaporkan telah menganugerahkan Blok SB-403 kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan E&P Malaysia Venture (EPMV) semasa Pusingan Bidaan Malaysia 2023.

Kedua-dua syarikat itu kemudiannya menandatangani PSC dengan SMJ Energy, di mana mereka membenarkannya mengambil pegangan sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan di kawasan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS