Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat Malaysia dinasihat bersiap segera tinggalkan Lubnan secara sukarela

Rakyat Malaysia di Lubnan dinasihatkan membuat persiapan segera untuk meninggalkan negara itu secara sukarela berikutan keadaan yang semakin meruncing.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan warganegara Malaysia juga diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di negara itu kembali stabil.

Menurut Kementerian Luar, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beirut di Lot 170, Saad Zaghloul Street, Downtown, Beirut, Republik Lubnan atau melalui nombor telefon: +961 7677 2527, +961 7138 0063 serta e-mel [email protected]

Kementerian Luar berkata Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis Israel di Lubnan baru-baru ini yang telah mengakibatkan lebih 500 kematian dan mencederakan lebih 1,600 orang.

"Serangan ini telah menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal dan merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa," menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar berkata pencerobohan sedemikian tidak boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa kerana ia melanggar integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan. 

Kementerian itu berkata operasi ketenteraan unilateral bukan sahaja akan meningkatkan lagi ketegangan di Lubnan dan serantau, tetapi juga menimbulkan risiko besar kepada negara jiran serta masyarakat antarabangsa.

"Tindakan rejim Zionis Israel memperluaskan operasi ketenteraannya ke Lubnan dan pada masa yang sama meneruskan pembunuhan beramai-ramai di Gaza di hadapan mata masyarakat antarabangsa sama sekali tidak dapat diterima. 

“Pengabaian secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan norma antarabangsa ini tidak boleh diterima dan tindakan tegas perlu diambil," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Malaysia menyeru Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk mengambil tindakan segera dan tegas dalam menghentikan serangan kejam yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan bagi melindungi orang awam.

Kementerian Luar berkata adalah penting bagi masyarakat antarabangsa perlu bertindak secara bersama dengan segera. 

"Malaysia menggesa UNSC melaksanakan tanggungjawab berlandaskan piagamnya bagi menamatkan kitaran keganasan ini. Pendekatan diplomatik dan komitmen terhadap dialog adalah penting dalam memastikan keamanan yang berkekalan di rantau ini," menurut kenyataan itu.

-Bernama



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS