Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu ramai balaci tak berilmu' - Puad jawab lawatan BN ke China
Diterbitkan:  Sep 25, 2024 10:07 PM
Dikemaskini: 2:07 PM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi menyangkal dakwaan PN yang lawatan sambil belajarnya ke China mempunyai kaitan dengan ideologi komunisme.

Menyifatkan tuduhan itu sebagai melampau, Puad berkata lawatan itu sempena 50 tahun hubungan Malaysia dengan China, dan bertumpu kepada soal pemodenan China dan cara negara itu memilih dan melatih pemimpin.

“Para ‘balaci’ Bersatu ini mungkin tidak tahu di China wujud ribuan sekolah politik, termasuk di majlis perbandaran. Ia lengkap dengan hotel sampai bertaraf lima bintang.

“Maka kebanyakan persidangan dan perbincangan dibuat di bilik kuliah di sekolah politik ini. Bukan kita belajar ideologi komunis, tapi tajuk dibincangkan ialah pemodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial.

“Memang banyak boleh ditiru dengan (membuat) pengubahsuaian. Maksud saya ialah (kita boleh) mempelajari teknik perkaderan, tapi bukan ideologinya,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi PN Johor Dr Sahruddin Jamal hari ini.

Sahruddin yang juga bekas menteri besar Johor antara lain berkata pihaknya bimbang fahaman  komunisme akan menular di kalangan ahli Umno dan juga di DUN Johor, di mana Puad adalah speaker.

“Jadi kita khuatir, kita tidak mahu akhirnya dewan negeri Johor terutamanya diresapi. Kita khuatir diresapi, ideologi komunis, jadi kita harap pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil apa-apa tindakan yang betul,” katanya dalam sidang media selepas membuat laporan itu, yang turut disertai Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badul Hisham Shaharin.

Laporan Sahruddin berdasarkan hantaran Puad di Facebook baru-baru ini, termasuk lawatannya ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) Beijing, tempat kader PKC dilatih.

Mengulas lanjut, Puad berkata saban tahun BN diundang untuk melawat China, termasuk ketika dua pemimpin utama Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Hamzah Zainudin masih di dalam Umno.

“Inilah masalah mereka yang masuk Bersatu. Mereka lupa Bersatu itu juga sekolah politik. Mereka didoktrin jadi bengap bila masuk Bersatu.

“Termasuklah Shahruddin, patutlah dia boleh jadi menteri besar untuk 10 bulan sahaja. Dia pula buat tuduhan berat, tuduh saya akan sebarkan ideologi komunis di DUN Johor.

“Masalah Bersatu ialah mereka ramai balaci tidak berilmu. Cakap hentam keromo macam Chegubard (Badrul Hisham). Sampai Sahruddin pun terikut-ikut,” sindirnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS