Seorang pemandu lori dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana membuat dan menggunakan komunikasi lucah serta mengaibkan pempengaruh TikTok A Rajeswary, atau Esha, yang ditemukan maut dipercayai dibuli, empat tahun lepas.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu selepas B Sathiskumar, 44, menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan semasa sebutan kes hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak daripada tarikh Sathiskumar ditangkap iaitu pada 10 Julai lepas.
Terdahulu, bapa tiga anak itu sempat memohon maaf dan mengakui kesalahannya serta berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
“Saya bersalah, saya tidak akan buat lagi… minta ampun puan (hakim), lain kali saya tidak buat lagi,” katanya.
Sathiskumar didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang lucah sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menerusi aplikasi TikTok menggunakan nama profil “@dulal_brothers_360” pada 10.12 malam, 30 Jun lepas.
Hantaran itu dibaca pada 10.15 malam di Jalan Ipoh, Sentul di Kuala Lumpur, 30 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, Sathiskumar didakwa mengaibkan dan mengganggu kesantunan ibu kepada Rajeswary iaitu PR. Puspa, 56, menerusi aplikasi TikTok menggunakan profil serupa pada tarikh, masa dan tempat sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman pula memohon hukuman berbentuk pemenjaraan mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan serta kepentingan awam dan hak mangsa dalam kes itu.
“Penggunaan perkataan lucah sepertimana dalam pertuduhan yang digunakan tertuduh semasa siaran langsung di TikTok melambangkan niat jahat tertuduh menyakiti mangsa. Tambahan pula fakta kes menunjukkan mangsa menggantung diri selepas dia membuat laporan polis dan mangsa juga diugut, diancam dan dimaki oleh tertuduh.
“Kes ini sewajarnya menjadi panduan kepada masyarakat umum bahawa perkataan lucah yang digunakan di media sosial boleh membawa kepada hukuman berat selaras dengan tindakan undang-undang. Tertuduh juga telah mengaibkan Puspa menggunakan perkataan yang sangat jelas menghinanya.
“Oleh itu, pihak pendakwaan mohon agar hukuman penjara wajar dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan,” katanya.
Peguam Muhamad Izwan Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman penjara minimum dan serentak atas alasan ini kesalahan kali pertama tertuduh yang mempunyai tiga anak dan seorang isteri orang kurang upaya.
“Anak guam saya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan. Dia telah insaf dan sedar dengan kesilapannya. Oleh itu, pihak kami memohon supaya mahkamah memberikan peluang kepada tertuduh agar dia dapat berubah menjadi insan yang baik dan berguna kepada negara,” katanya.
-Bernama