Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada notis usul undi tak percaya terhadap PM setakat ini - Speaker

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata sehingga kini, Parlimen belum menerima sebarang notis rasmi berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada mana-mana Ahli Parlimen, termasuk pihak pembangkang.

Beliau sebaliknya menyifatkan isu tersebut sebagai khabar angin semata-mata.

“Setakat ini, saya tidak menerima apa-apa… tiada sebarang dokumen rasmi atau panggilan telefon. Seperti biasa, sebarang usul perlu disertakan dengan dokumen hitam putih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Libat Urus Mesyuarat Ketiga Sidang Dewan Rakyat bersama Pengamal Media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia MADANI di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Jumaat lepas, Anwar mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat Oktober ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangkang perlu mengikut lunas undang-undang dan tidak sewenang-wenangnya mendesaknya untuk melepaskan jawatan.

Cabaran tersebut dibuat oleh Anwar selepas beberapa perwakilan dan pimpinan PAS menuntut beliau meletakkan jawatan semasa Muktamar Tahunan ke-70 parti itu di Temerloh, baru-baru ini.

Sementara itu, Johari bersetuju dengan cadangan Pakar Perlembagaan Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz, supaya keistimewaan institusi Parlimen perlu ditambah baik bagi memberi hak kepada Ahli Parlimen untuk mempertahankan diri daripada sebarang fitnah yang dilemparkan terhadap mereka dalam Dewan Rakyat.

Johari berkata penambahbaikan itu dilihat wajar dilakukan bagi memastikan kredibiliti institusi Parlimen tidak terjejas akibat sikap segelintir Ahli Parlimen yang menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk memfitnah individu lain.

“Saya amat bersetuju, kerana saya banyak mengikuti persidangan Parlimen negara lain di mana isu politik tidak banyak dimainkan ketika berucap dan berbahas. Walaupun terdapat isu substantif, ia diungkap dan dibahaskan secara matang.

“Tetapi di sini, kita sering menggunakan isu substantif untuk berpolitik... itu yang tidak baik. Saya rasa kita perlu mengambil langkah (moved) walaupun mungkin ia bukan langkah yang popular, tetapi kita perlu melaksanakannya… kerana dari segi karakter, sikap memfitnah ini adalah tidak baik,” katanya.

Beliau berkata penambahbaikan itu juga membolehkan mana-mana pihak yang terkesan oleh ucapan dalam sidang Parlimen, yang boleh menjejaskan reputasi atau mendatangkan fitnah, untuk mengambil tindakan di mahkamah.

Shamrahayu, ketika bercakap kepada media hari ini, menyarankan agar keistimewaan institusi Parlimen, khususnya berhubung dengan Perkara 63 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan keistimewaan Ahli Parlimen, ditambah baik.

Beliau menekankan bahawa penambahbaikan ini perlu demi keadilan semua pihak serta meletakkan had agar mana-mana Ahli Parlimen tidak melanggar Akta Hasutan semasa sesi perbahasan.

Mesyuarat penggal ketiga Parlimen ke-15 akan bermula dari 14 Okt hingga 12 Dis 2024.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS