Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pengundi Cina mungkin tak balik mengundi lepas Perayaan Kuih Bulan'

Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Mahkota Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali hari ini berkata hari pengundian jatuh seminggu selepas Pesta Pertengahan Musim Luruh atau Perayaan Kuih Bulan boleh menyumbang kepada peratusan pengundi Cina yang rendah.

Ini kerana mereka yang pulang untuk perayaan itu mungkin memutuskan untuk tidak kembali sekali lagi untuk mengundi, terutama dengan isu semasa kos sara hidup yang tinggi, katanya kepada pemberita pada sidang media di Kluang, Johor.

“Mereka terpaksa mengeluarkan sedikit wang untuk tol, pengangkutan dan sebagainya.

“Disebabkan itu, kita lihat dengan Barisan Nasional, menteri besar (Onn Hafiz Ghazi) sendiri merayu (kepada pengundi Cina).

"Nampak sangat terdesak dalam erti kata itu untuk mendapatkan undi Cina," kata ahli majlis tertinggi Bersatu itu.

Pada Ahad, Onn Hafiz melahirkan harapan agar masyarakat Cina tidak menghukumnya dengan tidak hadir mengundi pada hari pengundian Sabtu ini.

Dalam temu bual dengan akhbar Cina tempatan, Azmin berkata dia menerima laporan daripada komuniti perniagaan mengenai pengundi Cina di Mahkota kurang berminat untuk mengundi dalam PRK itu berikutan isu di peringkat persekutuan.

Isu yang dimaksudkan itu dipercayai pertengkaran berkaitan pensijilan halal antara Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Kira-kira 35 peratus pengundi Mahkota adalah Cina, 54 peratus Melayu, dan lapan peratus India.

Bercakap mengenai pengundi Cina, Azmin berkata PN telah mendapat kepercayaan komuniti perniagaan tempatan.

Menurut Azmin, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Bersatu Johor Dr Sahruddin Jamal telah menerima memorandum daripada Dewan Perniagaan Cina Kluang hari ini, meminta mereka membawa isu penting kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk diselesaikan.

“Ini satu permulaan yang baik apabila rakyat menaruh kepercayaan kepada kepimpinan PN dan itu menunjukkan kita boleh meningkatkan sokongan pada pilihan raya kecil ini.

“Itu dalam kalangan masyarakat Cina, dan kita harap mereka dapat menterjemahkan sokongan ini dalam bentuk undi dan memberi mesej kepada Putrajaya dan juga Johor Bahru supaya bertindak segera menyelamatkan ekonomi negeri dan juga ekonomi negara,” katanya.

Selain itu, katanya, PN menyasarkan untuk memenangi kesemua 18 daerah mengundi di Mahkota.

Jelas Azmin, pada pilihan raya umum lalu, PN memenangi empat daerah mengundi.

“Jadi mudah-mudahan dengan sokongan tambahan daripada negeri lain dan bahagian lain di Johor, dan dengan kekuatan yang kita lihat sekarang (dengan) jentera kita di lapangan, insya-Allah, kita sepatutnya dapat memperoleh undi yang lebih baik, sokongan yang lebih baik dan kita sepatutnya dapat memenangi Mahkota,” katanya.

Mengulas lagi mengenai ketiadaan kerajaan perpaduan di Johor, Azmin berkata ia boleh mengurangkan lagi peratusan keluar mengundi.

Dia mendakwa ahli parti Pakatan Harapan (PH) di Johor tidak berpuas hati dengan kekurangan jawatan negeri yang diberikan kepada mereka walaupun telah menyokong Umno sejak dua tahun lalu.

“Jadi apa istimewanya kerajaan ini untuk mereka keluar semula, tempuh perjalanan jauh-jauh dari Singapura dan negeri-negeri lain hanya untuk memberi satu undi tambahan kepada Umno?” katanya.

Minggu lalu, Azmin bertanya kepada Onn Hafiz sama ada Umno akan menubuhkan kerajaan perpaduan di negeri itu jika ia memenangi kerusi Mahkota.

Kesemua 11 ahli exco Johor adalah daripada BN, dipilih selepas pilihan raya negeri Mac 2022 dan sebelum pilihan raya umum ke-15 yang menyaksikan PH bekerjasama dengan BN.

Pada 28 Sept, pengundi Mahkota akan memilih antara Haizan Jaafar dari PN atau Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah sebagai wakil mereka.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS