Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lubang benam berlaku dekat Kompleks Bunga Raya KLIA
Diterbitkan:  Sep 25, 2024 4:16 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

Satu lubang besar dikesan muncul di hadapan Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), yang disyaki pihak berkuasa berpunca daripada kebocoran dari lubang kumbahan berhampiran.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata siasatan awal menunjukkan lubang benam di terminal lapangan terbang yang khusus untuk VIP itu bersaiz kira-kira lima meter lebar dan satu meter dalam.

“Lubang benam itu dikesan di kawasan berturap di antara pintu masuk dan pintu keluar Kompleks Bunga Raya.

"Ia terletak di luar had senggaraan Jabatan Kerja Raya dan (syarikat kontraktor) Roadcare Sdn Bhd," katanya.

Menurut KKR lagi laluan tersebut masih boleh dilalui oleh semua kenderaan namun pelan pengurusan trafik telah disediakan di kawasan tersebut.

"Pemeriksaan di tapak mendapati terdapat lubang kumbahan KLIA berhampiran lubang benam itu.

"Disyaki kebocoran pada paip kumbahan telah menyebabkan lubang benam terjadi," katanya.

KKR juga memberitahu mereka telah memaklumkan hal tersebut kepada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan laporan terperinci akan dikeluarkan selepas saja siasatan selesai.

"JKR dan Roadcare sedia membantu jika MAHB memerlukan kepakaran kami," katanya.

Bulan lalu, seorang pelancong dari Andhra Pradesh, India, Vijayaletchumy, 48, terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dan tidak dapat dikesan sehingga kini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS