Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil enggan mendedahkan sebab Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Khairuddin Othman dipecat selepas hanya enam bulan memegang jawatan.
Fahmi mengesahkan perkara itu dan berkata ia adalah perkara biasa dari segi jawatan kontrak dalam perkhidmatan awam.
"Saya sahkan beliau ditamatkan perkhidmatan semalam. Dalam isu jawatan kontrak, penamatan ada prosesnya.
"Pelantikan dan penamatan adalah perkara yang biasa.
"Pada waktu ini tugas dia akan dipangku, tak pasti (bila akan ganti), ada prosesnya," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Kementerian Komunikasi di Putrajaya.
Semalam, Khairuddin memberitahu Utusan Malaysia bahawa diberhentikan tugas selepas enam bulan sejak dilantik.
Bekas Adun Paya Jaras dua penggal dan setiausaha PKR Selangor itu bagaimanapun tidak menyatakan sebarang sebab dan tarikh pemberhentian itu dan memberitahu media untuk mengajukan soalan berkenaan kepada Kementerian Komunikasi.
Khairuddin mengambil alih sebagai ketua J-Kom pada Mac, menggantikan Mohammad Agus Yusoff, yang meletak jawatan selepas video kontroversi muncul.
J-Kom, sebelum ini dikenali sebagai Jasa, adalah sebuah jabatan kerajaan yang sering menjadi sasaran kritikan kerana pengendaliannya terhadap serangan dalam talian yang berkaitan dengan kaum, agama dan raja (3R).