Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PN buat laporan polis dakwa ahli MKT Umno sebar komunisme

Perikatan Nasional (PN) hari ini membuat laporan polis terhadap ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi yang membawa pemimpin parti itu ke China untuk lawatan sambil belajar.

Bercakap pada sidang media di Kluang, hari ini, Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, gabungan itu bimbang bahawa fahaman  komunisme akan menular di kalangan ahli Umno dan juga di DUN Johor, yang Puad adalah speaker.

“Kita lihat dia membawa beberapa pemimpin Umno ke sana dan melihat politik di negara Cina. Kita sedia maklum bahawa negara China berideologi komunis.

“Jadi kita khuatir, kita tidak mahu akhirnya dewan negeri Johor terutamanya diresapi. Kita khuatir diresapi, ideologi komunis, jadi kita harap pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil apa-apa tindakan yang betul,” katanya.

Laporan Sahruddin adalah berdasarkan hantaran Puad di Facebook baru-baru ini, termasuk lawatannya ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) Beijing, tempat kader PKC dilatih.

Dia juga menyiarkan tentang kuliah yang dihadirinya di sekolah berkenaan yang menekankan tentang kepentingan literasi media, misi pembaharuan ekonomi China, dan teori serta pengalaman pembangunan tenaga kerja kader PKC.

“Sekolah politik mereka memang hebat. Indoktrinasi mereka kepada pelapis dan pemimpin sedia ada memang rapi dan tersusun. 

“Banyak yang boleh ditiru dengan pengubahsuaian,” katanya.

Puad juga melaporkan bahawa kumpulan ahli Umno itu telah tiba di Kunming, China.

Mereka akan menghadiri satu lagi siri syarahan manakala dia akan pulang ke tanah air dan membantu kempen Barisan Nasional dalam pilihan raya kecil Mahkota, Johor pada Sabtu ini.

Dalam PRK itu, calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, yang juga Ketua Pemuda Umno Kluang, akan berdepan Haizan Jaafar dari PN. Kerusi DUN Mahkota kosong berikutan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS