Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Sabah digesa henti aktiviti cari gali minyak, gas di taman marin
Diterbitkan:  Sep 25, 2024 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Badan pemantau alam sekitar RimbaWatch hari ini menggesa kerajaan negeri Sabah untuk tidak meluluskan sebarang aktiviti cari gali minyak dan gas dalam tapak yang dipanggil Blok SB-403, yang didakwa terletak sepenuhnya dalam taman marin yang dilindungi negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata Taman Laut Tun Mustapha di Sabah disenaraikan sebagai kawasan perlindungan marin Kategori VI Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), yang hanya membenarkan aktiviti berimpak rendah.

“Aktiviti minyak dan gas adalah bertentangan dengan matlamat kawasan perlindungan IUCN Kategori VI dan pelan pengezonan Taman Laut Tun Mustapha, yang hanya membenarkan aktiviti berimpak rendah.

“Aktiviti minyak dan gas berisiko merosakkan persekitaran marin taman itu, termasuk risiko kepada 45,000 hektar terumbu, 17,000 hektar hutan bakau dan lebih 180 spesies yang terdedah dan terancam.

"Aktiviti ini juga mengancam mata pencarian lebih 85,000 penduduk kampung nelayan, termasuk dari masyarakat Bajau Laut dan Ubian," kata RimbaWatch.

Menurut laporan The Star, Petronas telah menganugerahkan Blok SB-403 - kawasan penerokaan minyak luar pesisir di utara Sabah yang meliputi kira-kira 10,256 kilometer persegi - kepada Petronas Carigali Sdn Bhd dan E&P Malaysia Venture (EPMV) semasa Pusingan Bidaan Malaysia 2023.

Kedua-dua syarikat itu (Petronas Carigali dan EPMV) kemudiannya menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran dengan SMJ Energy Sdn Bhd milik Sabah, di mana mereka membenarkannya mengambil pegangan sehingga 20 peratus kepentingan penyertaan dalam kawasan itu.

Mengulas lanjut, Rimbawatch mendakwa sempadan blok SB-403 bertindih hampir keseluruhannya dengan sempadan Taman Laut Tun Mustapha.

Ini, katanya, berdasarkan analisis geospatial peta blok yang diterbitkan oleh Petronas yang ditindih dengan data kawasan perlindungan marin untuk Sabah.

“Menurut peta yang diterbitkan Petronas, prospek bahan api fosil dan telaga sedia ada di SB-403 semuanya terletak betul-betul di dalam sempadan taman itu.

"Ia menunjukkan bahawa bukan sahaja aktiviti penerokaan bahan api fosil telah berlaku di taman itu, tetapi pengeluaran mungkin berpotensi diberi mandat untuk diteruskan dalam taman itu.

"Selanjutnya, berdasarkan peta pengezonan TMP, prospek terletak di kawasan penangkapan ikan komersial atau pelbagai kegunaan taman itu, dan terletak berhampiran dengan beberapa 'zon pemeliharaan' taman itu," kata kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Rimbawatch berkata projek minyak dan gas akan menimbulkan risiko alam sekitar yang ketara kepada kawasan marin dan membahayakan tapak biodiversiti, yang menempatkan lebih 82 spesies karang keras dengan keluasan terumbu kira-kira 45,156 hektar, 715 spesies ikan, lebih 20 spesies jerung dan tapak bersarang untuk penyu karah dan penyu hijau.

“Jabatan Taman Sabah mesti mengambil tindakan terhadap pelanggaran pengezonan Taman Laut Tun Mustapha ini dan bekerjasama dengan kerajaan Sabah untuk memastikan tiada permit berkaitan penerokaan minyak dan gas di taman itu diluluskan, termasuk untuk sebarang laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) pada masa hadapan untuk ditolak.

“Dan Petronas harus komited untuk mengecualikan aktiviti minyak dan gas di semua kawasan perlindungan, baik di luar pesisir mahupun di darat.

"Jabatan Alam Sekitar juga harus mendedahkan sama ada EIA telah dijalankan untuk aktiviti penerokaan pada masa lalu di taman itu," katanya.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS