Dikemas kini dengan berita penuh.
Presiden Gerakan Dominic Lau mengeluh berkaitan kenyataan pemimpin PAS untuk menutup kasino.
Dia memberitahu perkara itu dalam acara makan malam dengan media Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi sempena sambutan Pesta Tanglung.
Dia malah meminta penjelasan pemimpin PAS yang hadir–Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari dan pengerusi biro perpaduan Halimah Ali.
“Saya boleh bagi contoh. Contoh baru-baru saja, saya nampak media sudah buat, tularkan isu muktamad PAS kan. Terutamanya pemimpin-pemimpin Pahang itu, dia kata nak tutup kasino.
“Wah, banyak orang sudah Whatsapp bagi saya dan kata, brother, macam mana? Nak tutup kasino. Saya pun tak tahu macam mana nak jawab,” katanya.
Lau berkata acara itu mengundang media Cina sahaja kerana media itu didakwa banyak melaporkan perkembanagn Perikatan Nasional (PN) secara negatif.
Sementara itu, Lau juga mendedahkan dia membangkitkan perkata itu kepada Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Saya terus hantar pesanan teks kepada Tuan Ibrahim. Saya kata, Bro, susahlah ini. Saya susah nak jawab
“(Jawabnya) oh, ini kena twisted (pusing) kenyataan atau ucapan dia kena twisted.
“Saya kata mengapa twisted? Bagaimana twisted? Dia kata (dia) difahamkan itu peringkat negeri tak boleh tutup casino,” katanya.
Lau bagaimanapun dilihat tidak berpuas hati dengan penjelasan itu.
“Memanglah (bidang kuasa negeri), saya faham. Tetapi kenapa awak katakan nak tutup kasino?” soalnya.
Pada 15 September lepas, Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Jabar dan timbalannya Andansura Rabu menyatakan hasrat menutup premis judi, termasuk kasino terbesar besar Asia Tenggara di Genting Highland, jika menawan Pahang pada pilihan raya depan.
Bagaimanapun, kata mereka, perkara berkaitan undang-undang dan bidang kuasa negeri harus dirujuk terlebih dahulu.
Sementara itu, Lau berkata sesuatu kenyataan jika tidak dijelaskan betul-betul, boleh mengundang salah faham.
“Oleh itu, nanti saya akan jemput YB Ahmad Fadhli untuk memberikan jawapan,” katanya.
Sementara itu, Fadhli yang naik ke pentas selepas itu berkata kuasa penutupan kasino terletak bawah bidang kuasa kerajaan pusat, bukan negeri.
“Kita mahu nyatakan kepada masyarakat PAS tidak akan bertindak melebihi daripada kuasa yang akan diberikan kepadanya.
“Jadi saya rasa tidak timbul isu penutupan kasino di negeri Pahang apabila perkara itu berada bawah bidang kerajaan pusat,” katanya.
Jamin tak jadi Taliban
Fadhli juga memberi jaminan PAS tidak akan menjadi seperti kumpulan bersenjata Taliban di Afghanistan apabila mengambil alih kuasa.
“Orang tanya Islam macam mana PAS nak bawa? Adakah Islam sebagaimana Taliban di Afghanistan, yang tak benarkan wanita bekerja, yang semua wanita kena pakai purdah?”
“Saya katakan bahawa PAS akan menjadi kerajaan parti yang mentadbir kerajaan sesuai dengan suasana masyarakat di Malaysia.
“Itu menjadi cita-cita kita,” katanya.
Halimah cakap Cina
Sementara itu, Halimah pula memberitahu media berbahasa Cina supaya tidak takut kepada PAS.
Dia malah menuturkan bahasa Cina bermaksud, “bulan (PAS) mewakili hatiku”.
Ia dipercayai dipetik daripada lagu cinta terkenal Cina, yang dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai "The moon represents my heart", oleh biduanita China Teresa Teng.