Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adly: Pemimpin nyalakan kebencian sesama ummah bukan suri teladan
Diterbitkan:  Sep 25, 2024 11:46 AM
Dikemaskini: 3:46 AM

Adun Bukit Katil di Melaka, Adly Zahari, berkata memang negara ini mengamalkan demokrasi dan memberikan hak kepada rakyatnya memilih mana-mana parti politik untuk disokong.

Bagaimanapun dia yang kini menjadi timbalan menteri pertahanan menjelaskan, seseorang penjawat awam tetap tertakluk kepada dasar kerajaan dan menjadikan agenda semasa sebagai keutamaan untuk dilaksanakan.

"Negara kita mengamalkan demokrasi, justeru sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana individu, namun diperkhidmatan awam ada peraturan dan batasnya.

"Kerajaan pula boleh sahaja mengambil apa sahaja pandangan untuk kebaikan bersama, tetapi pandangan pemimpin pembangkang sentiasa menjadi alat kebencian sesama ummah dan tidak wajar dijadikan teladan perpaduan di Malaysia," katanya dalam kenyataan media.

Adly berkata demikian sebagai mengulas isu tindakan tatatertib yang dikenakan kerajaan ke atas empat kakitangan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) beberapa hari lalu.

Mereka sama ada diberhentikan atau dipindah ke tempat lain selepas didapat terlibat memaparkan gambar Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam slaid mengiringi teks khutbah Jumaat dikeluarkan Jaim pada 20 Okt lalu.

Abdul Hadi sendiri menganggap tindakan tersebut sebagai "sangat keterlaluan" manakala Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan empat individu terbabit tidak melakukan dosa besar.

Pengerusi PN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, pula menganggap meletakkan gambar bekas duta khas bertaraf menteri itu mengiringi nasihat dalam khutbah adalah langkah yang tepat.

Kata Adly, andai ada mana-mana kakitangan kerajaan yang dapat terbukti meletakkan agenda politik mereka lebih tinggi berbanding keperluan kerajaan, langkah sewajarnya mesti diambil.

"Jika terbukti sabotaj kepada dasar dan hala tuju negeri telah berlaku, tindakan tegas yang telah diambil kerajaan Melaka adalah wajar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS