Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Zaid 'sekolahkan' MB - Tidak susah kesan salah guna jika tahu apa dicari
Diterbitkan:  Sep 25, 2024 10:53 AM
Dikemaskini: 2:53 AM

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim “menyekolahkan” Menteri Besar Selangor Amirudin Shari tentang bagaimana pihak berkuasa boleh memantau dan mengesan salah guna secara berkesan dalam organisasi yang menjalankan perniagaan dan rumah kebajikan, seperti apa yang didakwa berlaku dalam Global Ikhwan Services and Businesses Holdings (GISBH).

Ia susulan kenyataan menteri besar itu bahawa perubahan taktik GISBH yang beralih kepada perniagaan dan mengehadkan aktiviti kepada ahli keluarga sahaja menjadikan isu itu sukar dipantau dan agak lewat untuk didedahkan.

Zaid berkata ia hanya sukar jika pihak berkuasa tidak tahu apa yang perlu mereka cari.

"Pertama, kita mulakan dengan rumah kebajikan. Adakah jabatan kebajikan (kedua-dua negeri dan persekutuan) cukup lengkap untuk memantau penghuninya? Adakah pengusaha rumah kebajikan ditapis dengan betul?

"Adakah mereka mematuhi sepenuhnya peraturan? Adakah mereka perlu didaftarkan?

“Jika tidak, ini adalah sesuatu yang sepatutnya dilakukan oleh MB.

"Kemudian, agak mudah untuk mengesan kanak-kanak yang dianiaya atau tidak dijaga dengan baik," kata Zaid dalam catatan panjang di akaun X.

Selain itu, katanya, juga adalah tidak susah bagi pihak berkuasa memantau aktiviti perniagaan GISBH.

Semua maklumat terkini mengenai syarikat itu sepatutnya dalam simpanan Suruhanjaya Syarikat dan pihak majlis tempatan, tambah Zaid, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri akan mengetahui perniagaan apa yang GISBH terlibat.

Menurut peguam itu, apa yang sukar bagi pihak berkuasa tanpa pemantauan rapi adalah untuk menentukan pandangan agama yang dipegang oleh ahli kumpulan itu.

Justeru, dia menasihatkan pegawai agama supaya berhati-hati dan tidak terburu-buru menuduh mereka yang ditahan sebagai sesat.

Semalam, media memetik Amirudin sebagai berkata pihak berkuasa tidak dapat mengesan dakwaan penyelewengan dalam GISBH kerana kumpulan itu telah mengubah taktik mereka.

“Berdasarkan taklimat awal yang saya terima, GISBH telah menukar taktik dengan menceburi bidang perniagaan dan ini menyebabkan (pihak berkuasa) tidak dapat memantau sepenuhnya aktiviti mereka.

“Berdasarkan taklimat awal dimaklumkan kepada saya selepas pendedahan kes, kebanyakkan GISBH menukar taktik dengan beralih kepada perniagaan dan ia tidak boleh dipantau sepenuhnya.

“Mereka juga mengehadkan aktiviti kepada anak beranak mereka saja dan bukannya orang lain sekali gus menyukarkan kita tahu butiran penyelewengan yang dilakukan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS