Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan guna Sosma heret pengikut GISBH ke mahkamah - bekas MP
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 9:11 PM
Dikemaskini: Sep 25, 2024 12:13 AM

Bekas ahli parlimen PKR Maria Chin Abdullah menggesa pihak polis agar tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) terhadap pengikut Global Ikhwan Services and Businesses Holdings (GISBH) yang ditahan kebelakangan ini.

Sebaliknya, Maria yang juga bekas tahanan Sosma berkata terdapat peruntukan sedia ada di bawah Kanun Prosedur Jenayah yang masih membenarkan pihak polis melanjutkan siasatan mereka.

"Adalah sesuatu yang menarik apabila polis dapat menyiasat dan mengumpul bukti dalam masa yang singkat.

"Ini termasuk bukan sahaja sekadar menyelamatkan lebih 400 kanak-kanak, tetapi polis berjaya menangkap beberapa suspek penting yang didakwa terlibat dalam penderaan itu dan baru-baru ini menemui semula beberapa buku yang didapati tertanam berhampiran sungai," katanya pada kenyataan hari ini.

Gambar fail, Maria Chin ketika baru bebas dari tahanan Sosma pada 2016.

Bekas pengerusi Bersih itu berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Polis Negara Razarudin Husain semalam yang menyatakan pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk menggunakan Sosma, serta semua peruntukan undang-undang lain.

Kata Razarudin ini bagi memastikan tiada cubaan untuk menghidupkan semula GISBH, yang berkembang daripada ajaran sesat Al-Arqam yang diharamkan.

"Bukti-bukti itu ada seperti yang didakwa oleh polis sejak seminggu lalu dan mereka telah menunjukkan secara terbuka apa yang mereka temui.

"Kes GISB adalah kes berkepentingan awam bagi semua orang dan semua siasatan mestilah melalui perbicaraan terbuka supaya orang ramai mengetahui perkara sebenar,” tegas Maria.

Tiada jaminan keadilan

Maria mengulangi pendiriannya Sosma - yang membenarkan penahanan tanpa bicara dalam tempoh yang lama - tidak menjamin keadilan bagi orang yang dituduh dan oleh itu harus dimansuhkan.

Selain itu, dia menyeru pihak polis dan kementerian berkaitan agar memberi tumpuan untuk membawa pelaku yang didakwa ke mahkamah, segera menutup semua rumah amal tidak berdaftar yang dikendalikan oleh organisasi tersebut, serta memberi sokongan emosi dan psikologi segera kepada kanak-kanak yang terjejas.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak perlu menunggu sehingga siasatan selesai tetapi harus segera mengarahkan penutupan semua perkhidmatan haram yang dikendalikan oleh GISB serta menjalankan audit seluruh negara ke atas semua rumah, sama ada untuk kanak-kanak, orang tua atau orang kurang upaya, untuk menyemak status undang-undang mereka.

"Ini juga mesti termasuk mengkaji semula SOP secara mendalam tentang cara Jabatan Kebajikan Masyarakat memantau rumah - bukan sahaja pelesenan tetapi juga kualiti penjagaan yang diberikan kepada mereka yang tinggal di rumah-rumah tersebut.

"Sudah tiba masanya Kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat mengambil tindakan untuk menamatkan penderaan dan penganiayaan terhadap mereka yang hidupnya bergantung kepada rumah-rumah ini,” katanya lagi.

Kronologi kejadian

Pada 11 September, Razarudin pertama kali mengumumkan Ops Global yang dilancarkan polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dalam serbuan ke atas 20 rumah amal kendalian GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan, serta menahan 171 orang.

Sejak itu, beberapa individu yang ditahan dilaporkan telah didakwa dengan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Siasatan juga dilaporkan dijalankan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001; Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001; Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007; dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Antara yang masih dalam tahanan reman termasuk pemimpin tertinggi GISBH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS