Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir 100 tahun, Dr M masih boleh pecut lebih 150km/j 
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 6:02 PM
Dikemaskini: 10:52 AM

Kira-kira dua bulan selepas meraikan hari lahir ke-99, Mahathir Mohamad masih mampu memandu laju sehingga lebih 154km sejam (km/j).

Melalui rakaman video yang dikongsi di media sosial bekas perdana menteri itu, kelihatan dia menguji litar lumba Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Mahathir ditemani Pengerusi Bukan Eksekuitif SIC, Mohamed Azman Yahya memandu Audi Q5 SUV.

Terdahulu Azman bertanya Mahathir kenapa dia terfikir membina litar itu suatu ketika dulu.

Kata Mahathir, Malaysia ketika itu tidak mempunyai banyak tarikan pelancong, justeru menganjurkan perlumbaan kereta akan menarik kedatangan pelawat dari negara luar.

“Kita juga perlu menghiburkan orang ramai. Rakyat mahu melihat sesuatu. Mereka melihat (perlumbaan) hanya di kaca TV. Mereka mahu melihat perkara sebenar,” tambahnya.

Pada awal video sepanjang 3.14 minit itu, Mahathir kelihatan berada di tempat duduk penumpang kenderaan tersebut manakala Azman mengendalikan stereng.

Bagaimanapun di penghujung video berkenaan Mahathir dilihat mengambil alih pemanduan dan menekan pedal minyak pada kelajuan tertinggi 154km/j.

Mahathir berkata dia dan bekas Pengerusi SIC, Basir Ismail, berbincang mengenai cadangan itu dan memutuskan bahawa ia akan menjadi pelaburan yang berbaloi, dengan matlamat utama menganjurkan perlumbaan Formula Satu.

Bekas perdana menteri itu - yang merasmikan SIC pada 7 Mac 1999 - berkata ia merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan kerana Malaysia merupakan negara membangun pertama menjadi pentas pertandingan kereta seumpamanya.

Ditanya mengapa memilih Sepang, Mahathir menjawab: “Sebab kita ada tanah. Untuk lapangan terbang (Lapangan Terbang Antarabangsa KL), kita ada 25,000 ekar. Jadi ada ruang (untuk litar) dan ia tidak terlalu jauh (dari lapangan terbang yang dibina kemudian)."

Azman kemudian bersetuju bahawa ia adalah lokasi yang baik.

"Kita menganjurkan perlumbaan untuk Porsche Carrera Cup Asia, Ferrari Challenge, untuk GT World Challenge Asia, mereka semua menyukai Sepang kerana ia sangat mudah untuk mereka."

Pada Ogos lalu, netizen memuji Mahathir dan laman web automotif popular Paul Tan menggelarnya sebagai "lelaki kereta berusia 99 tahun" melalui video yang menunjukkan dia sedang memandu uji Proton S70 baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS