mk-logo
Berita
Peguam Syarie tawar bantuan pada wanita, kanak-kanak mangsa GISBH
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 5:29 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menawarkan khidmat bantuan serta pemulihan terhadap mereka yang menjadi mangsa kepada GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Presidennya Musa Awang berkata pihaknya sedia membantu khususnya isteri-isteri serta anak-anak yang teraniaya seperti mana pendedahan pihak polis.

"Sehubungan itu, PGSM telah menawarkan diri untuk berkerjasama dalam usaha membantu proses bantuan dan pemulihan terhadap mangsa-mangsa GISBH, terutamanya kepada isteri dan anak-anak yang menjadi mangsa GISBH.

"Bentuk bantuan dan kerjasama daripada PGSM ialah dalam memberikan nasihat guaman syariah, membawa permohonan ke Mahkamah Syariah berhubung pengesahan status nikah, pengesahan status nasab anak-anak, hak penjagaan anak-anak oleh kaum kerabat (datuk, nenek, saudara mara kepada anak-anak) dan sebagainya, kepada wanita-wanita atau anak-anak yang menjadi mangsa GISBH.

Gambar fail, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Musa Awang .

"PGSM selanjutnya berharap usaha murni PGSM untuk tujuan bantuan dan pemulihan ini turut mendapat sokongan daripada pihak kerajaan, agensi-agensi yang berkaitan serta majlis agama Islam Negeri-negeri," katanya pada satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mendedahkan kanak-kanak di bawah rumah jagaan GISBH sudah didoktrin sebagai 'anak yatim'.

Razarudin berkata hasil keterangan pihak polis mendapati terdapat kanak-kanak terutamanya bawah 12 tahun yang tinggal di rumah kebajikan GISBH tidak mengenali ibu bapa mereka yang juga ahli pertubuhan itu.

"Ada juga ibu bapa kanak-kanak yang kita selamatkan turut ditahan polis. Mereka tidak mahu mengaku mereka (kanak-kanak) anak-anak mereka.

"Ini kerana GISBH juga memaparkan dalam laman web sumbangan untuk 'anak yatim' walhal sebenarnya anak-anak ahli, ia adalah satu penipuan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Jadi lebih baik mereka tidak mengaku kerana tidak ada kesalahan itu.

“Ibu bapa dan kanak-kanak telah didoktrin ini (bahawa mereka anak yatim) malah ada yang tidak kenal ibu bapa seolah-olah memang anak yatim," katanya pada sidang media di Pulapol, di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, Musa berkata PGSM telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan hari ini bagi menyampaikan hasrat PGSM untuk sama-sama terlibat dalam usaha memberi bantuan serta pemulihan kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH.

"PGSM berpandangan bahawa semua pihak pada masa ini wajar menghentikan dan menamatkan salah menyalah serta menuding jari sesama sendiri.

"Sebaliknya menumpukan kepada usaha bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa khususnya kepada wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa GISBH," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS