Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Banduan terhomat': PAS lebih sudu dari kuah - PKR Perak
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 3:20 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

PAS didakwa sengaja memperolok kenyataan "banduan terhormat" yang diungkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi mencalar kredibilitinya dalam memimpin kerajaan perpaduan.

Pengerusi PKR Perak, Mohd Hairul Amir Sabri, berkata ungkapan perdana menteri berhubung isu itu seharus dilihat secara berfakta oleh pemimpin PAS.

"Umum mengetahui bahawa pembebasan penuh Anwar telah diberikan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V, pada 2018 ekoran terdapat pelanggaran prinsip keadilan (travesty of justice) berhubung kes tersebut.

"Persoalannya, mengapa PAS seolah-olah lebih sudu daripada kuah dalam mentafsir dan mengemukakan cadangan khususnya melibatkan kes liwat tersebut?" katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Mohd Hafez Sabri berkata Anwar berhak menuntut sejumlah pampasan yang besar akibat dipenjarakan atas tuduhan palsu.

Oleh itu, dia menggesa perdana menteri untuk memohon semakan terhadap kes-kes tersebut.

“Pertikaian berkenaan salah atau tidak terhadap hukuman sehingga perdana menteri menjadi seorang ‘banduan terhormat’ adalah tertakluk kepada fakta kes mahkamah yang beliau dijatuhi hukuman,” katanya yang dipetik Harakahdaily.

Sementara itu, Pemuda PKR mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mohd Hafiz disifatkan mereka sebagai dangkal.

Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Pemuda PKR, Ashaf Hadi, berkata tindakan Pemuda PAS cuba membangkitkan fitnah berkenaan jelas bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menekankan kepentingan keadilan, menjaga maruah dan kemuliaan akhlak.

"Kenyataan tersebut bukan sahaja memalukan, malah menunjukkan politik dangkal pemimpin Pemuda PAS yang menggunakan fitnah lama yang keji lagi jijik untuk kelangsungan politik mereka.

"Sebagai sayap parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, Pemuda PAS sepatutnya lebih bijak dan berakhlak dalam setiap tindakan dan kenyataan mereka.

"Lebih mengecewakan, sikap pemimpin Pemuda PAS pada hari ini langsung tidak mencerminkan kepimpinan yang berwibawa dan berakhlak mulia seperti mantan Presiden PAS, Almarhum Ustaz Fadzil Noor," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS