PRK MAHKOTA | Timbalan Pengerusi BN Johor Nur Jazlan Mohamed dilihat memberi tekanan kepada DAP bagi memastikan pengundi Cina di DUN Mahkota keluar mengundi pada Sabtu ini.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Nur Jazlan berkata ia pastinya tugas yang mudah buat DAP dan tentera sibernya, yang digelar sebagai “Red Bean Army”.
Menurutnya, persoalan sama ada orang Cina akan keluar mengundi atau tidak bergantung kepada jika mereka dapat melihat manfaat jangka panjang dengan mengundi calon BN yang disokong DAP.
“Bila kita bercakap tentang pengundi Cina dan parti orang Cina, kita boleh nampak wujudnya kelompok pengundi yang oportunis dalam membuat pilihan.
“Pengundi Cina bukannya tak ambil peduli soal politik, tapi mereka lebih (cenderung) kepada cara menilai manfaat yang bakal diperoleh sebelum berikan sokongan dan undi.
“Mereka akan tengok dulu siapa yang boleh tawar sesuatu yang berkisar soal isi poket dan peluang mereka untuk cari makan,” katanya yang merupakan bekas ahli Parlimen Pulai.
Menurutnya, sentimen tersebut akan menentukan jika kadar pengundi Cina yang keluar mengundi dalam PRK Mahkota tinggi atau rendah seperti ketika PRK Sungai Bakap.
DUN Mahkota merangkumi 54 peratus pengundi Melayu, Cina (35 peratus) dan India (lapan peratus).
Pengundi Cina boleh menjadi faktor penentu dalam usaha BN mengekalkan kemenangan di situ dan ada kebimbangan peratusan keluar mengundi orang Cina mungkin rendah.
Salah satu faktor utama adalah orang Cina dilihat kurang senang dengan kecaman Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal.
Di pihak Umno, kata Nur Jazlan lagi, mereka telah memilih calon muda yang fasih berbahasa Cina dan mampu memberi penjelasan berkenaan isu pensijilan halal dalam bahasa itu.
“Kalau org Cina tak faham lagi, saya tak tahulah. Mungkin mereka tak berminat kerana calon bukan sebangsa macam ketika PRK Kuala Kubu Bharu,” katanya.
‘Kacang saja bagi DAP’
Nur Jazlan berkata pengundi Cina perlu berfikir secara jangka panjang dan memikirkan kemungkinan kesan ke atas kerajaan persekutuan jika ingin menjadikan pendirian Akmal dalam isu sijil halal sebagai faktor untuk menentukan undi mereka.
“Secara demografi dan congak mudah komposisi penduduk negara ini, mereka jugalah yang bakal hadapi kerugian,” katanya lagi.
Namun, dia berpandangan tidak susah bagi “Red Bean Army” DAP untuk mengendalikan isu pensijilan halal, yang didakwanya dipergunakan agar orang Cina menolak BN.
Katanya, DAP dan jentera parti itu memiliki “pengalaman bertahun-tahun” dalam memainkan isu, terutama ketika menyerang Umno, dan maka pastinya turut tahu untuk menangani isu sijil halal.
“Benda kecil macam ni memang ‘kacang’ je bagi ‘tentera kacang merah’ DAP bukan?
“Saya rasa tak susahlah untuk DAP untuk mula gerakkan kempen mereka untuk yakinkan pengundi Cina supaya jangan terpengaruh dengan dakyah palsu ni,” katanya.
Katanya lagi, jika calon BN Syed Hussien Syed Abdullah kalah pada Sabtu ini, DAP pasti akan merasa “terpaling malu”, khususnya kerana DUN Mahkota terletak dalam kawasan Parlimen Kluang yang merupakan kubu kuat parti itu.