Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Merak, kuda antara haiwan diselamatkan dari premis GISBH
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 2:07 PM
Dikemaskini: 6:29 AM

Pihak berkuasa berjaya menyelamatkan pelbagai haiwan dari premis milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di Bandar Country Homes di Rawang, Selangor apabila kawasan berkenaan dikosongkan dan terbiar sejak minggu lalu.

Operasi menyelamat haiwan milik GISBH itu dijalankan bersama oleh Unit Berkuda Polis Diraja Malaysia dan Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) pada Sabtu lalu.

Sebanyak 26 haiwan, termasuk kuda dan jenis baka kecil, merak dan arnab, berjaya diselamatkan pada operasi bersama mereka pada petang Sabtu lalu.

“14 arnab, tiga merak dan lapan kuda termasuk dua pony horse diselamatkan apabila terbiar selama tiga hari semenjak kawasan berkenaan dikosongkan (oleh anggota GISBH).

“Arnab dan merak kini selamat berada dalam jagaan Shelter Haiwan Galeri Animal Malaysia manakala semua kuda termasuk pony berada dibawah jagaan Unit Berkuda PDRM,” tulis presiden MAA Arie Dwi Andika di Facebook.

Dalam hantaran itu, dia menggesa pihak berkuasa supaya menitikberatkan isu kebajikan dari sudut makan minum dan kebersihan terhadap haiwan berstatus dalam sitaan apabila ada kes melibatkan perundangan.

“Badan-badan penguatkuasaan yang membuat keputusan sitaan dan tindakan menutup satu-satu premis juga disarankan memikirkan kaedah selamat terhadap nyawa haiwan yang berada dalam premis diisytihar sita dan tutup dengan menempatkan pegawai-pegawai yang mampu menguruskan kebajikan makan minum haiwan sebelum membuat keputusan muktamad.

“Lebih praktikal ialah melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi penanggungjawab memelihara haiwan barang kes sehingga selesai urusan penguatkuasaan undang-undang,” kata Arie.

Setakat ini, polis telah menahan ratusan individu hasil  serbuan di beberapa premis berkaitan GISBH di seluruh negara, sejak minggu lalu, dan beberapa suspek telah didakwa.

Selain itu, ratusan lagi mangsa juga telah diselamatkan dalam operasi yang digelar Ops Global.

Dalam serbuan berkaitan, pihak berkuasa juga merampas risalah yang mengandungi unsur-unsur yang dipercayai bercanggah dengan ajaran Islam, selain barangan khurafat.

Premis perniagaan yang dikaitkan dengan pertubuhan  yang bergabung dengan Al-Arqam yang diharamkan juga telah disita.

Tindakan bermula pada 11 September lalu apabila Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH serta menyelamatkan 402 kanak-kanak berumur antara satu hingga 17 tahun.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS