Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keluarga Koh terima salinan laporan ‘kehilangan paksa' bersih

Keluarga paderi Raymond Koh telah diberi salinan laporan sulit yang "bersih" dan boleh dibaca berhubung kehilangannya secara paksa tujuh tahun lalu.

Peguam, Jerald Gomez memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa Kementerian Dalam Negeri, melalui Jabatan Peguam Negara (AGC), telah menyerahkan kepada mereka laporan itu.

Semalam, peguam itu membuat aduan bahawa laporan Pasukan Petugas Khas (STF) berhubung kejadian pada 2017 yang diberikan tidak boleh dibaca.

Sebagai maklum balas, wakil AGC Nurul Farhana Khalid berkata herotan dalam dokumen itu mungkin disebabkan oleh isu dakwat pencetak.

“Kami ingin mengesahkan bahawa telah menerima salinan bersih laporan STF daripada peguam kanan persekutuan pagi ini sekitar jam 10 pagi.

“Susanna Liew (isteri Koh) juga mengesahkan menerima salinan laporan itu.

"Kami ingin mengkaji laporan itu untuk melihat apa yang dimuatkan," kata Gomez kepada hakim perbicaraan Su Tiang Joo.

Nurul Farhana juga mengesahkan dengan mahkamah sivil bahawa salinan baharu laporan itu telah diberikan kepada keluarga Koh.

Mahkamah akan meneruskan perbicaraan penuh esok berhubung tuntutan Liew untuk memaksa polis dan kerajaan mendedahkan lokasi Koh, yang diculik pada 13 Feb 2017.

Keluarga itu memohon salinan laporan berkenaan, yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, supaya dapat memperkukuhkan kes tindakan sivil mereka.

Pada 2019, siasatan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat kesimpulan bahawa penculikan Koh adalah kehilangan secara paksa yang dilakukan oleh Cawangan Khas polis.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS