Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan gagal jumpa penjaja - MP Wangsa Maju buat laporan polis
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan membuat laporan polis terhadap beberapa penjaja yang didakwanya membuat kenyataan berunsur fitnah dan tuduhan tidak berasas terhadapnya yang disiarkan di laman media sosial.

Dalam satu kenyataan, Zahir berkata dia telah menonton sebuah video TikTok yang memaparkan kumpulan penjaja dari PPR Wangsa Sari yang menuduhnya gagal untuk berjumpa dengan mereka berhubung notis pengusiran yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya ingin tegaskan di sini, bahawa tuduhan ini sama sekali tidak berasas.

“Saya sendiri telah mengarahkan pegawai-pegawai saya untuk adakan pertemuan dengan pihak yang terlibat dan sehingga kini, mereka masih sedang berusaha secara aktif untuk membantu menyelesaikan isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dalam video TikTok yang disiarkan oleh pemegang akaun 'AATV Rakyat News', semalam, penjaja berkenaan  membuat beberapa dakwaan terhadap Zahir.

Seorang lelaki dipaparkan sebagai berkata, bahawa mereka telah menerima notis pengusiran secara mengejut oleh DBKL untuk merobohkan gerai mereka. Dia juga mendakwa Zahir telah dua kali gagal berjumpa dengan mereka.

Lelaki itu juga berkata, sekiranya Zahir tidak lagi berminat untuk mewakili mereka, dia perlu meletakkan jawatan, supaya pilihan raya kecil boleh diadakan.

Dia turut mempersoalkan mengapa DBKL cepat bertindak ke atas gerai mereka tetapi tidak mengendahkan sebuah kilang haram yang didakwanya mengancam masyarakat berhampiran.

Video tersebut mendapat lebih 40,000 tontonan dengan ribuan lagi komen dan perkongsian.

Mengulas lanjut, Zahir berkata, dia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menangani kebimbangan penduduk seperti yang dibangkitkan dalam video itu, termasuk isu kilang haram berkenaan.

Katanya, sekurang-kurangnya dua pertemuan bersama wakil penjaja PPR Wangsa Sari telah diadakan oleh pegawainya yang diadakan pada 13 dan 18 September di pusat khidmat parlimennya.

“Ada laporan minit mesyuarat. Jadi, isu gagal adakan pertemuan ini tidak sepatutnya timbul. 

“Kedua, saya dituduh tidak mengambil tindakan terhadap kilang haram yang dimaksudkan dalam video tersebut. 

“Ini sama sekali tidak benar. Saya bersama-sama dengan pasukan saya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkaitan, kami bekerja rapat dengan pihak DBKL untuk selesaikan isu ini secara menyeluruh,” katanya.

Zahir menegaskan sebagai ahli parlimen, peranannya hanyalah sebagai pemudah cara dan kuasa penguatkuasaan ada pada pihak DBKL. 

Selain itu, Zahir menyebut bahawa dia akan mendapatkan nasihat undang-undang untuk meneruskan tindakan selanjutnya.

“Kesemua tuduhan ini adalah tidak berasas dan bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti saya sebagai ahli Parlimen Wangsa Maju serta mencemarkan nama baik saya. 

“Semua ini adalah dan seolah-olah cuba memberi gambaran bahawa saya langsung tidak mahu ambil peduli dengan isu tersebut.

“Hasil semakan pihak saya juga mendapati, salah seorang individu yang memfitnah saya dalam video tersebut juga pernah ada rekod pernah disaman fitnah sehingga membuat permohonan maaf.

“ Saya berharap pihak polis dapat menyiasat perkara ini dengan segera dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS