Khidmat Setiausaha PKR Selangor, Mohd Khairuddin Othman, sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) sudah ditamatkan walaupun baru kira-kira enam bulan dilantik ke jawatan tersebut.
Menurut laporan Utusan Malaysia, penamatan itu disahkan sendiri oleh Mohd Khairuddin namun alasan di sebalik keputusan tersebut tidak pula dinyatakan.
Ditanya sebab perkhidmatan itu tidak diteruskan dan bila ia berkuat kuasa, bekas Adun Paya Jaras dan bekas Setiausaha PAS Selangor itu enggan memberi komen.
“Sebaiknya kalau dapat bertanya pada menteri,” katanya.
Mohd Khairuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah J-Kom mulai 1 Mac lalu menggantikan Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada Nov tahun lalu.
Kekosongan jawatan berkenaan berlaku secara mengejut ekoran kontroversi membabitkan Agus dengan seorang kakitangan J-Kom, Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, yang dianggap berbau lucah.
Pendedahan video berdurasi 3 minit 3 saat itu membawa kepada siasatan polis dan bekas ahli akademik terbabit kemudian berundur daripada jawatannya.
Sebelum ini J-Kom diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri namun dipindahkan ke Kementerian Komunikasi tidak lama selepas ia terpalit dengan isu melibatkan Agus dan Wahab.
Sementara itu BH Online pula melaporkan, Khairuddin memberitahu surat penamatan perkhidmatannya diterima semalam.
“Betul, (surat makluman) sudah diterima (daripada Kementerian Komunikasi).
"(Penamatan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah JKOM) sudah berkuat kuasa," katanya.