Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Teresa: Saya tidak akan kongsi pentas ceramah dengan Dr Akmal
Diterbitkan:  Sep 24, 2024 8:38 AM
Dikemaskini: 4:32 AM

Naib Pengerusi DAP Teresa Kok sama sekali tidak akan berkongsi pentas ceramah dalam kempen pilihan raya kecil DUN Mahkota di Johor bersama dengan Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, yang sedang diheretnya ke mahkamah.

“Peguam saya telah mengeluarkan surat tuntutan sebagai memulakan kemungkinan saman terhadap Akmal. Peguamnya sudah berhubung dengan peguam saya berhubung perkara ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Teresa Kok

Berdasarkan pekembangan itu, Kok berkata peguamnya telah menasihatinya agar tidak berkongsi pentas dengan Akmal, kerana ia boleh merumitkan kes itu.

“Saya ingin nyatakan bahawa saya tidak akan berkongsi sebarang pentas ceramah dengan Akmal. Tambahan pula, saya percaya keputusan ini adalah demi kebaikan kempen pilihan raya kerajaan perpaduan,” tambahnya.

Kok mengulas cadangan sesetengah pihak untuk membawa kedua-dua ahli politik itu bersama semasa kempen untuk pilihan raya 28 September ini.

Semalam, media memetik Naib Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching sebagai berkata bahawa dia tidak berdaya untuk berbuat demikian.

“Terpulang kepada pengarah pilihan raya untuk menentukan apa yang terbaik, sama ada ia patut (disusun atau sebaliknya).

"Saya tidak pasti sama ada Teresa Kok akan menyertai (kempen) atau tidak," tambahnya.

Pengarah BN bagi pilihan raya kecil itu ialah Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi manakala Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan adalah penolongnya.

Pada 11 September lalu, Kok, yang juga ahli Parlimen Seputeh, menghantar notis undang-undang kepada Akmal menuntut ganti rugi RM25 juta kerana melabelnya sebagai “nyonya tua” dan mahu melekatkan logo tidak halal di dahinya.

Sayap Pemuda DAP bahagian Seputeh turut membuat laporan polis terhadap Akmal.

Ketua Pemuda Umno itu menyelar Kok atas dakwaan  "campur tangan" dalam hal-hal Islam berhubung komennya mengenai isu pensijilan halal.

Perbalahan mereka mencetuskan kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan sokongan masyarakat Cina terhadap calon BN Syed Hussein Syed Abdullah, yang berusaha untuk mempertahankan kerusi itu untuk Umno.

Sebelum ini, Teo menggesa pengundi supaya mempertimbangkan sumbangan kepimpinan kerajaan gabungan secara keseluruhan ketika mengundi dan bukannya melihat kepada kenyataan pemimpin tertentu.

Katanya, bahawa adalah tidak adil untuk menghukum orang lain atas tindakan seseorang.

Onn Hafiz pula merayu kepada pengundi Cina, yang mewakili 34 peratus daripada 66,318 pengundi di Mahkota, supaya tidak "menghukum" dirinya berhubung isu di peringkat persekutuan.

PRK Mahkota menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dengan Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS