Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Slaid gambar Hadi: 4 pegawai Jaim kena tindakan tatatertib

Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) mengambil tindakan tatatertib terhadap empat pegawainya berhubung penggunaan gambar pemimpin politik pada paparan infografik slaid khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri itu, minggu lepas.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya telah menyiasat perkara itu dan mendapati ia memang berlaku dan mereka yang terlibat mengakui kesilapan tersebut.

Rahmad Mariman

"Mereka merupakan kakitangan Bahagian Pengurusan Masjid yang bertanggungjawab melaksanakan penyediaan slaid tersebut... kita telah mengambil tindakan tegas, ada di antara mereka telah diberhentikan selain ada yang ditukarkan ke bahagian serta daerah lain.

"Ia satu kesilapan yang sama sekali tidak boleh dilakukan dan JAIM memohon maaf atas kekhilafan tersebut serta akan memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Jaim Al-Qusyairi Kampung Tersusun Bukit Larang, Telok Mas yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Infografik khutbah bertajuk 'Negaraku, Tanah Airku' pada 20 Sept lepas itu, yang disediakan oleh Bahagian Pengurusan Masjid JAIM bersempena Sambutan Hari Malaysia, memaparkan wajah Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan telah mencetuskan perdebatan hangat.

Jaim sebelum ini telah mengeluarkan permohonan maaf dan meminta slaid infografik itu yang disiarkan di papan layar semua masjid di Melaka ditarik balik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS